Diam Ambiga bukan selamanya, kata veteran PAS

 |Nov 2, 2017

PETALING JAYA: Veteran PAS, Datuk Mustafa Ali menyifatkan tindakan bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan yang masih membisu sehingga kini adalah bersifat sementara.

Menurutnya, ‘kebisuan’ Ambiga ketika ini mungkin disebabkan beliau sedang berfikir mengenai tindakan yang sewajarnya dilakukan.

“Sebagai seorang peguam, dia sepatutnya tahu apa yang perlu dilakukan apabila namanya didedahkan seperti tiu.

“Diam sementara bukan bererti dia diam selama-lamanya, jadi perlu tunggu dan lihat apa tindakan beliau seterusnya,” katanya ketika dihubungi Malaysia Outlook.

Mustafa ketika ditanya sama ada meletakkan tempoh waktu untuk Ambiga tampil memberi penjelasan, beliau berkata setakat ini tiada tempoh khas yang ditetapkan dan meletakkan keputusan tersebut kepada pemimpin tertinggi PAS.

Media melaporkan Clare Rewcastle-Brown dalam dokumen pembelaan terhadap saman Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Ambiga ada bercakap dengannya mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PAS pada Julai 2016.

“Ambiga memberitahu kepada defendan, yang menurutnya sumber itu sebagai boleh dipercayai, jumlah yang diberikan itu sekitar RM90 juta,” kata Clare yang merupakan pengasas Sarawak Report, dalam dokumen mahkamah bertarikh 11 Oktober itu.

Terdahulu, Sarawak Report menaikkan artikel 8 perenggan yang mendakwa RM90 juta ‘dikatakan’ dimasukkan ke akaun pimpinan tinggi PAS supaya mereka tidak menyerang 1MDB.

Susulan dakwaan itu yang dibuat tahun lepas, Abdul Hadi memfailkan saman di Mahkamah Tinggi London terhadap editor portal itu April lalu.

Clare dalam pembelaannya menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 pegawai PAS dari kumpulan ulama yang didakwa menerima wang yang disumberkan daripada 1MDB.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika dihubungi enggan mengulas isu yang akan dibicarakan di mahkamah.

“Kami tidak mahu komen isu mahkamah ini,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Ambiga perlu memberikan reaksi untuk memberi gambaran yang sebenarnya terhadap dakwaan Clare.

Katanya, peguam PAS kini sedang mengkaji perkara terbabit dan akan mengambil tindakan sewajarnya. – MO