‘Ambiga tidak patut berdiam diri, perlu tampil jawab tuduhan’

 |Nov 2, 2017
Gambar fail kredit The Rakyat Post.

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan tidak sepatutnya berdiam diri, sebaliknya perlu tampil menjelaskan tuduhan bahawa beliau menjadi sumber maklumat berkenaan dakwaan transaksi kewangan antara 1Malaysia Development Bhd (1MDB), PAS dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak ketika menegaskan perkara itu berkata langkah memberi penjelasan wajar dibuat kerana orang ramai sudah maklum tentang perkara berkenaan.

“Beliau sebagai seorang peguam dan seorang profesional sepatutnya tak berdiam diri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan prapelancaran Buku Panduan VVIP di sini, hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown, menamakan Ambiga sebagai sumber maklumat terhadap dakwaan bahawa PAS menerima RM90 juta daripada perdana menteri.

Dalam kenyataan pembelaannya pada 11 Okt lepas terhadap saman yang difailkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Rewcastle-Brown mendakwa beliau dan Ambiga bercakap mengenai Najib, 1MDB dan PAS pada Julai 2016. – Bernama