Janji PH tangkap MO1: Cubaan raih simpati

 |Nov 1, 2017
Tun Dr Mahathir Mohamad. – Foto fail MO.

PETALING JAYA: Penganalisis politik Datuk Zainal Abidin Borhan menyifatkan lima janji Pakatan Harapan (PH) yang dibentangkan Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad adalah usaha untuk meraih simpati rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Menurutnya, janji PH untuk menangkap “Malaysian Official 1” (MO1) dalam masa seratus hari mentadbir negara, jika menang dalam PRU akan datang adalah semata-mata untuk memburukkan dan menghina Datuk Seri Najib Razak.

“Isu di sini adalah bukan menangkap tetapi rakyat mahukan mereka (pembangkang) membuktikan tuduhan yang dibuat.

“Setakat ini bukti yang dikemukan mereka tidak jelas iaitu dari mana sumbernya dan walaupun ada rakyat yang menerima hujah yang dikemukan tetapi ada juga sehingga hari ini masih ragu-ragu untuk mempercayai atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Malaysia Outlook.

Zainal berkata, isu berkenaan MO1 sering menjadi ‘dendangan’ pembangkang untuk meraih simpati rakyat mengundi pada PRU nanti namun pemerhatian beliau mendapati perkara tersebut adalah mustahil.

“Janji PH tidak banyak memberi kesan kepada rakyat untuk mengubah pendirian dan menolak kerajaan Barisan Nasional.

“Saya berpendapat ianya tidak akan berubah atau menjejaskan perhatian rakyat secara drastik sehingga boleh mengundi PH,” katanya.

Menyentuh mengenai PH berikhtiar untuk membersihkan Malaysia dari najis rasuah, bermula dari pimpinan tertinggi kerajaan, Zainal berkata pembangkang juga terperangkap dalam isu yang sama apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan pembelian banglo dibawah harga pasaran.

Menurutnya, jika dilihat dalam memerangi rasuah, kerajaan BN dilihat serius dalam perkara berkenaan.

Sementara itu, peguam Nizam Bashir menjelaskan tidak mustahil untuk PH mengambil tindakan menangkap MO1 apabila wujudnya bukti yang menimbulkan syak wasangka.

Menurutnya, satu siasatan akan dibuat dan sekiranya terbukti ada kesalahan, pendakwaan jenayah boleh dibuat terhadap individu terbabit dan begitu juga sebaliknya.

“Setakat ini saya nampak dari segi tindakan yang diambil prosiding tindakan sivil dan dakwaan kesalahan masih belum diambil.

“Tetapi sebarang kenyataan yang terkandung dalam prosiding sivil boleh diambil kira dan siasatan susulan boleh dibuat oleh pihak berkenaan di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Malaysia Outlook.

Beliau berkata, bukti untuk menjalankan siasatan bukan sahaja terletak kepada laporan daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) tetapi juga dakwaaan yang dilaporkan di dalam media.

Menurutnya, perkara berkenaan juga mewajarkan satu siasatan lanjut dilakukan dan sekiranya tiada jawapan munasabah diberikan, individu berkenaan boleh didakwa.

MO1 mula disebut dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan kemudian mengesahkan MO1 adalah Najib.

Saman itu bertujuan menyita aset di negara itu yang didakwa diperolehi melalui penyelewengan dana 1MDB.

Najib sebelum ini menafikan terlibat menyelewengkan dana 1MDB, dan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali juga membersihkannya daripada sebarang salah laku.

Nizam berkata, tidak timbul masalah untuk menahan individu yang dikaitkan dengan MO1 namun siasatan haruslah menunjukkan wujudnya kesalahan yang boleh didakwa.

“Sewajarnya pihak pendakwaan yang bertanggungjawab hendaklah memastikan siasatan yang dilakukan adalah sewajarnya dan selepas itu satu keputusan akan diambil untuk mendakwa pihak tersebut.

“Apabila siasatan sewajarnya dibuat, barulah kita dapat mengambil rumusan yang bersesuaian,” katanya. – MO