Alya bantu gapai sinar baru golongan gelandangan

 |Nov 1, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Di hampir kesemua ibu kota di Malaysia dan lain-lain negara, gelandangan menjadi satu masalah sosial kerana keadaan hidup golongan ini mendedahkan mereka kepada pelbagai gejala sosial yang mendatangkan kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Pun begitu, adalah tidak wajar untuk menyalahkan mereka hidup sedemikian kerana jika difikirkan secara logik, tiada seorang pun manusia yang berfikiran waras mahu menjalani kehidupan yang tidak menentu dan penuh kesengsaraan jika mereka mempunyai pilihan yang lebih baik.

Bertitik tolak daripada perkara itu, aktivis sosial, Alya Syahida Allias mengorak langkah dengan membantu golongan gelandangan ini untuk mendapatkan pekerjaan sekaligus mengubah kehidupan kepada yang lebih baik.

Meneruskan siri jejak gelandangan Malaysia Outlook, Alya menceritakan bagaimana kebanyakan golongan gelandangan yang ditemuinya datang dari negeri lain dan berhijrah ke Kuala Lumpur semata-untuk mencari pekerjaan namun pencarian mereka gagal sehingga terpaksa ‘tinggal’ di lorong-lorong sekitar ibu negara.

Foto MO Azrol Ali.

“Mereka ini tidak sedar ada banyak kerja kosong tetapi bukannya di dalam Kuala Lumpur. Ada yang tidak mahu keluar dari KL kerana masalah tempat tinggal dan kemudahan pengangkutan untuk ke tempat kerja.

“Di sini kami membantu dengan bekerjasama dengan beberapa syarikat untuk mengambil mereka bekerja dan mendapatkan kemudahan seperti tempat tinggal serta pengangkutan,” katanya ketika di temui di Anjung Singgah baru-baru ini.

Wanita cekal berusia 36 tahun ini tidak pernah mengenal erti putus asa apabila ada sesetengah golongan gelandangan ini yang mengambil keputusan untuk berhenti kerja selepas dibantunya.

Alya menjelaskan ramai golongan gelandangan di ibu negara berjaya dibantu untuk mendapatkan pekerjaan dan ada di antara mereka sudah berjaya dalam kerjaya masing-masing seperti kerani, pengawal keselamatan, menjalankan perniagaan menjual nasi lemak dan pelbagai lagi.

Menurutnya, ada di antara golongan gelandangan ini yang mempunyai sijil ijazah namun terpaksa akur dengan nasib mereka.

Foto MO Azrol Ali.

“Kami bersyukur kerana syarikat yang bekerjasama tidak pernah putus asa dan sentiasa mahu mengambil pekerja daripada golongan gelandangan ini.

“Kini, satu borang disediakan khas untuk golongan gelandangan ini untuk memohon pekerjaan dan saya serta beberapa sukarelawan akan membantu mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan mereka,” katanya.

Alya berkata, tanggungjawabnya tidak berhenti selepas mendapatkan pekerjaan untuk golongan gelandangan ini kerana dia akan terus memberikan sokongan dan dorongan supaya mereka terus berjaya dan tidak menoleh ke belakang lagi.

Menyingkap kembali penglibatan anak kelahiran Kulim, Kedah ini dalam aktiviti sukarelawan, Alya berkata ianya adalah suatu perkara yang tidak diduga apabila individu yang membantunya ketika menghadapi masalah tayar kereta pada lima tahun lalu menasihatkannya untuk mendermakan wang kepada kanak-kanak di Jalan Chow Kit.

Menurutnya, individu tersebut enggan menerima wang sumbangan yang diberikan kerana membantunya dan bermula dari saat itu, dia memberanikan diri untuk melakukan aktiviti sukarelawan bagi membantu kanak-kanak di Jalan Chow Kit.

Foto MO Azrol Ali.

“Pada permulaan melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan ini saya bergerak seorang diri sebelum terlibat dalam pertubuhan kebajikan The Gagaks,” katanya.

Alya kini aktif dengan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia dibawah Majlis Belia Negara dengan menyampaikan ceramah di sekolah yang memfokuskan kepada topik dadah dan seks bebas serta tidak melupakan aktiviti sukarelawannya dengan membantu golongan gelandangan ini mendapatkan pekerjaan.

Ibu kepada dua cahaya mata ini menasihatkan orang ramai untuk tidak memberikan layanan berbeza kepada golongan gelandangan ini kerana mereka juga manusia yang berhak untuk hidup seperti orang lain.

“Jangan layan mereka seperti orang miskin, mereka juga berhak untuk pergi ke pusat membeli belah yang mewah, layanlah mereka seperti manusia lain juga,” katanya. – MO

Siri pertama jejak gelandangan MO: Tidak semua punya tuah, kaki lima menjadi ‘rumah’