‘Bukan negara saya’ sekadar gurauan, kata TMJ

 |Oct 13, 2017
Foto fail kredit Facebook Johor Southern Tigers.

PETALING JAYA: “Daripada membazir berjuta-juta duit rakyat yang diberikan kepada Utusan dan Kosmo, lebih baik ditutup sahaja jika hanya ingin melaga-lagakan orang dan menuls berita seperti menulis gosip murahan,” kata Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi kenyataan disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers hari ini.

Tunku Mahkota Johor itu bertitah demikian susulan laporan akhbar berkenaan bertajuk ‘Tunku Ismail guris hati peminat’ yang disifatkan sebagai menulis berita seperti gosip murahan.

“Satu jam lebih punya dialog saya bercakap mengenai bola sepak dan isu-isu semasa, tetapi ayat gurauan yang terakhir saya selama 20 saat itulah yang menjadi tumpuan sekarang.

“Inilah salah satu sebab mengapa saya dah tak baca surat khabar dalam negara ni kerana sikap terdesak ingin menjual surat khabar dan menulis berita seperti di majalah gosip,” katanya.

Artikel berkenaan menyebut bahawa para peminat bola sepak tanah air terguris dengan kenyataan presiden FAM itu yang secara sinis menganggap skuad bola sepak kebangsaan sebagai ‘bukan pasukan negaranya’.

Ia antara lain memetik kenyataan bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali yang berkata, ucapan Tunku Ismail itu di luar jangkaan penyokong-penyokong bola sepak negara, ditambah dengan kenyataan bahawa jawatan sebagai Presiden FAM merupakan kerja sambilan sahaja.

Laporan berkenaan merujuk kepada sesi soal jawab bersama wakil-wakil media di JDT Cafe, Johor Bahru sebelum ini apabila Tunku Ismail berkata ” Pasukan negara anda semua, not my negara (Bukan negara saya). I’m from Johor, you know (Saya berasal dari Johor, anda tahu)”.

Tunku Ismail nyata kesal apabila ayat gurauannya itu dilaporkan akhbar berkenaan dengan tujuan untuk melaga-lagakannya dengan pihak lain.

“Kepada sahabat-sahabat saya di luar negara ini, inilah slogan Malaysia Boleh. Inilah mentaliti bangsa melayu saya di sesetengah tempat di Malaysia.

“Berjuta-juta duit setiap bulan diberikan kepada Kosmo yang terletak di bawah Utusan tetapi kerja hanya ingin melaga-lagakan orang sahaja dan tulis berita macam gosip murahan.

“Nasihat saya kepada kerajaan, lebih baik anda tutup sahajalah syarikat surat khabar tersebut daripada membazir duit rakyat,” kata Tunku Ismail. – MO

SHARE