Pekira nafi ada dana usahawan sendiri, hanya bantu ahli dapatkan dana sedia ada

 |Oct 12, 2017
Foto kredit laman web Pekira.

PETALING JAYA: Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Mohd Ridzuan Abdullah menafikan parti yang baru ditubuhkan itu menyediakan dana usahawan kepada ahlinya.

Menurutnya, parti tersebut ditubuhkan bagi memberi kebajikan kepada golongan usahawan terutama belia atas pagar yang keliru untuk memilih parti sesuai yang akan membentuk kerajaan pada masa akan datang.

“Pekira ini pro kerajaan dan kami membantu ahli dengan memberikan pendedahan kepada mereka dengan dana yang sudah disediakan kerajaan untuk golongan usahawan ini tidak kira yang baru bermula atau mahu mengembangkan perniagaan mereka.

“Kerajaan sudah menyediakan pelbagai dana untuk golongan usahawan ini dan ada antara mereka tidak tahu mengenai dana tersebut.

“Jadi ini adalah cara kami untuk membantu ahli sekaligus merealisasikan hasrat Perdana Menteri bagi membantu golongan usahawan ini,” katanya ketika dihubungi Malaysia Outlook.

Mohd Ridzuan menjelaskan parti hanya mengeluarkan surat sokongan kepada ahli yang memohon untuk mendapatkan bantuan kerajaan dan surat tersebut hanya diberikan kepada mereka yang layak sahaja.

Beliau mendakwa surat sokongan ini sudah dipraktiskan dalam semua parti komponen Barisan Nasional tetapi wujud kekangan birokrasi iaitu ahli sukar menemui Ketua Bahagian menyebabkan golongan peniaga ini sukar mendapat kemudahan yang sedia ada itu.

“Konsep Pekira ini tiada birokrasi atau sekatan. Mereka yang layak  memohon dana usahawan ini akan mendapat surat sokongan daripada saya sebagai presiden untuk memastikan mereka dapat pinjaman atau dana atau skim latihan yang disediakan kerajaan.

“Bagi mendapatkan dana yang besar, kami akan bantu mendapatkan sokongan daripada Perdana Menteri kerana banyak kemudahan yang sudah sedia ada,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan parti tersebut mengenakan bayaran sehingga RM200 hingga RM300 untuk pemberian sebarang geran atau dana bagi membantu usahawan.

Menurutnya, sejak tiga bulan penubuhan parti tersebut, pihaknya sudah membantu ramai ahli untuk membuat permohonan bagi mendapatan dana usahawan.

Sementara itu, berhubung pendaftaran parti itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

masih di dalam proses dan pihaknya akan menghantar laporan aktiviti parti kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada hujung bulan ini untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, kesal dengan tindakan ROS yang bersifat tarik tali dalam memberikan kelulusan kepada parti berkenaan yang jelas menyokong kerajaan Barisan Nasional.

“Kami akan menghantar laporan aktiviti kepada Perdana Menteri untuk buat keputusan,” katanya. – MO

SHARE