Tahanan reman kelima Boy Iman

 |Oct 11, 2017
Gambar asal laman Facebook Dato Boy Iman.

PETALING JAYA: Siasatan polis terhadap Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Nuruliman A Rahman atau dikenali sebagai Boy Iman diteruskan lagi dan kali ini mendapat perintah reman dua hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Jitra, Kedah.

Ini adalah penahanan kelima pelakon berusia 37 tahun itu sebelum ditahan reman di Ampang dan Shah Alam, Selangor; Muar, Johor dan Sungai Petani, Kedah.

Turut sama direman tiga pengarah syarikat Juta Kelulut Global Resources berusia antara 30 hingga 45 tahun, termasuk seorang wanita.

Berita Harian melaporkan, perintah tahanan reman terbabit dikeluarkan Majistret Mahkamah Jitra, Abdul Hadi Hakimi Harun mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Boy Iman diwakili peguam, Ummi Kalthum Zakaria manakala tiga yang lain diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Zuriah Mohd Nordin.

Pada 2 Oktober lalu, Boy Iman ditahan selepas polis menerima 188 laporan polis berkaitan penipuan jualan rumah yang dilakukan Syarikat DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan, didapati syarikat ini menawarkan rumah kepada pembeli dengan harga yang jauh lebih murah daripada pasaran iaitu sekitar RM60,000 untuk sebuah rumah banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi.

Bagaimanapun, selepas bayaran dilunaskan pembinaan rumah berkenaan didakwa tidak dijalankan.

Sehingga kini, jumlah laporan polis yang dibuat mangsa meningkat kepada 203 laporan dari seluruh negara, membabitkan projek di Negeri Sembilan, Johor dan Selangor. – MO