Polis saran himpunan anti-kleptokrasi di Stadium Kelana Jaya

 |Oct 11, 2017

KUALA LUMPUR: Penganjur perhimpunan anti-kleptokrasi tidak dibenarkan mengadakan sebarang perhimpunan di Padang Timur, Petaling Jaya Sabtu ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sehingga hari ini polis menerima empat laporan daripada penduduk setempat yang membantah perhimpunan tersebut diadakan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, penduduk bimbang perhimpunan tersebut akan menyebabkan kesesakan lalu lintas dan faktor keselamatan yang mungkin berlaku nanti.

“Saya dimaklumkan kira-kira 20,000 peserta dijangka menyertai himpunan tersebut dan kawasan Padang Timur hanya boleh memuatkan kira-kira 10,000 orang,” katanya selepas menghadiri majlis di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.

Beliau mencadangkan penganjur untuk menukar lokasi perhimpunan di Stadium Kelana Jaya namun belum ada sebarang respon daripada pihak berkenaan.

“Sekiranya perhimpunan terus diadakan, kami akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya yang dipetik dari The Sun.

Mohamad Fuzi mengesahkan tiada ancaman keselamatan melibatkan perhimpunan tersebut.

Perhimpunan anti-kleptokrasi anjuran Pakatan Harapan dijadualkan pada 14 Oktober di Padang Timur, Petaling Jaya dari jam 4 petang hingga tengah malam.

Pelbagai persembahan kebudayaan, tayangan filem, pameran dan beberapa acara lain akan diadakan pada perhimpunan antikleptokrasi itu. – MO