Bekas juara dunia didakwa rogol atlet terjun

 |Oct 11, 2017
Huang Qiang didakwa didakwa merogol atletnya yang berusia 20 tahun. – Gambar ihsan.

KUALA LUMPUR: Seorang juara bekas dunia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol seorang atlet acara terjun pada September lalu.

Tertuduh yang merupakan jurulatih Kesatuan Renan Amatur Malaysia (ASUM) itu memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Huang Qiang, 35, didakwa merogol atletnya, yang berusia 20 tahun di dalam Gimnasium Terjun, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil, Sri Petaling, di sini, jam 5.30 petang, 26 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang bekas atlet Olimpik diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis setiap dua kali sebulan.

Tertuduh juga dilarang mengganggu, menghubungi dan mengugut saksi serta menetapkan 6 November ini untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. – MO