Bumbung bilik Hotel Avillion runtuh, dua pelanggan cedera

 |Oct 10, 2017
Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri cedera ringan apabila bumbung dan siling sebuah bilik hotel yang dihuni mereka runtuh awal pagi tadi di Batu 3 Jalan Pantai, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.22 pagi itu di Hotel Avillion Port Dickson, pasangan tersebut bersama seorang anak mereka berusia lima tahun sedang tidur.

Harian Metro melaporkan, bumbung dan siling bilik di tingkat tujuh itu runtuh secara tiba-tiba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Razif Mohd Haris, berkata mereka yang cedera sepasang suami isteri sementara anaknya tidak mengalami kecederaan.

“Kita masih menyiasat lanjut punca kejadian, namun pemeriksaan awal mendapati struktur bumbung bilik berkenaan dipercayai terjejas mungkin disebabkan faktor cuaca,” katanya.

Menurutnya, keluarga terbabit dihantar untuk rawatan dan pemeriksaan di Hospital Port Dickson.

Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Avillion Berhad, Amirul Azhar Baharom berkata pihaknya sedang bekerjasama dalam membantu siasatan dan jurutera struktur dalaman mereka turut menyertai siasatan tersebut.

Menurutnya, hanya satu bilik yang terjejas akibat insiden tersebut dan keseluruhan blok yang terbabit ditutup sementara waktu manakala pelanggan lain sudah dipindahkan ke blok yang berbeza.

Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Keselamatan tetamu kami adalah keutamaan dan tiga sekeluarga yang mengalami kecederaan ringan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Port Dickson.

“Mereka kini sudah berada di resort dan kakitangan kami akan memberikan kemudahan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirul Azhar berkata, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Port Dickson, Tuan Norazam Khamis menjelaskan tingkat pertama hingga tingkat ketiga bangunan tersebut yang menempatkan bilik mesyuarat adalah selamat untuk digunakan.

Menurutnya, Kumpulan Avillion Hotel menyesali kejadian yang berlaku di Avillion Port Dickson dan berharap tiada spekulasi ditimbulkan sehingga siasatan selesai. – MO