Kurnia ini bukan kami cari, kata Afdlin Shauki

 |Sep 29, 2017

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki mengambil langkah untuk tidak mengambil peduli dengan kritikan atau tanggapan remeh orang lain mengenai penganugerahan darjah kebesaran yang diterimanya daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada Selasa lalu.

Afdlin menerusi akaun Instagramnya menegaskan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk itu bukannya dibeli atau dicari sebaliknya pengiktirafan kepada dirinya yang bergelar anak seni, usahawan dan sukarelawan.

“Peduli apa orang nak kata. Baju tu memang kami beli. Tapi kurnia kami tidak. Kurnia ini bukan kami cari.

“Kami hanya buat yang terbaik dalam hidup kami untuk memberi nafkah terbaik untuk keluarga tetapi dalam perjalanan itu, ada manafaat juga yang di berikan kepada masyarakat.

“Kami bermula dari bawah dengan penuh kesusahan. Kami bukan tak pernah jatuh dan bangun.

“Dengan berbekalkan kepercayaan pada diri sendiri, keinginan untuk menghibur dan memberi manafaat, kami sampai ke tempat ini. Kini kami masih berusaha, masih belajar dan masih memberi manafaat,” tulisnya.

Beliau turut berkongsi rasa kesyukuran dan kegembiraan apabila tiga rakan iaitu Datuk Azhar Othman atau Awie, Datuk Hans Isaac dan Datuk AC Mizal dikurniakan dengan anugerah itu ketika mereka semua masih hidup, sambil berkongsi gambar mereka berempat semasa masing-masing menerima penganugerahan darjah.

“Lewat malam ini aku berfikir, masih rasa macam dalam alam mimpi. Tak pernah berlaku dalam sejarah industri hiburan ini apa yang berlaku pada kami.

“Tak sangka yang empat orang sahabat, satu angkatan dapat mencapai kurnia ini sewaktu kami semua masih hidup,” tulisnya.

Pengarah filem Buli ini berharap penghargaan diterima oleh anak seni sepertinya dapat menjadi perangsang kepada orang lain untuk mengubah hidup mereka dan keluarga.

Afdlin turut berazam untuk terus membawa perubahan positif kepada industri hiburan tempatan pada masa akan datang.

“Semoga kami dapat memberi perangsang kepada sesiapa sahaja yang tak percaya seorang budak flat Sri Sabah boleh merubah hidup keluarganya dan menjadi pemangkin perubahan dalam industri atau masyarakat sekelilingnya.

“Terima kasih kepada yang menyokong kerja-kerja kami selama ini dan Insha-Allah kami akan terus memberikan yang terbaik dan membawa perubahan positif pada industri dan masyarakat Malaysia.

“Percayalah! You can do it too! Aku bersyukur pada Allah dan sangat merendah diri di atas pemberian-Nya ini,” tulisnya.

Afdlin, 46, menerima anugerah itu pada majllis pengurniaan darjah dan pingat sempelan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang yang diadakan di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pahang yang disampaikan oleh Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Isu membabitkan gelaran Datuk ini mencetuskan kontroversi selepas Zizan Razak yang menjadi hos pada malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke 29 (FFM29) berjenaka mengusik gelaran Datuk diperoleh beberapa pelakon kononnya dibeli.

Bagaimanapun, pelakon Abang Long Fadil 2 itu memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak yang berkecil hati di atas keterlanjuran kenyataannya.