Budiman: Tun Mahathir terlepas pandang 22 tahun, kini kelirukan rakyat

 |Sep 29, 2017
Budiman Mohd Zohdi. – Gambar fail kredit The Rakyat Post.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi membidas tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang semakin aktif berkempen menjatuhkan kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak dengan pelbagai tuduhan liar.

Menurutnya, percaturan politik pengerusi Pakatan Harapan itu dilihat satu cubaan mengelirukan rakyat.

Budiman berkata, antara slogan dimainkan pakatan pembangkang sepanjang kempen itu adalah untuk mengubah dan membebaskan Malaysia dari gejala rasuah yang didakwa dilakukan kepemimpinan tertinggi negara.

Bagaimanapun, secara realitinya, tindakan Dr Mahathir itu sangat mengelirukan kerana rakan sekutu dalam pakatan pembangkang, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dituduh dan akan dibicarakan bagi kesalahan rasuah.

“Dalam masa Dr Mahathir membuat pelbagai tuduhan liar terhadap Perdana Menteri, sikap ‘double standard’ (pilih kasih) beliau terhadap kes membabitkan Guan Eng adalah sangat mendukacitakan.

“Bagaimana beliau boleh bercakap soal menghapuskan rasuah sedangkan orang yang duduk bersebelahan beliau adalah orang yang dituduh kerana kesalahan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sanggup berkempen dengan meletakkan kesalahan kepada individu yang sudah meninggal dunia walaupun berupaya mengubah tindakan itu ketika berkuasa selama 22 tahun.

Beliau merujuk tindakan Dr Mahathir yang menyalahkan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kononnya berlaku persetujuan berat sebelah hasil penggubalan Akta Pembangunan Petroleum pada 1974.

“Selama 22 tahun beliau memegang jawatan Perdana Menteri, tidak langsung beliau mempunyai hati untuk mengubah perkara ini.

“Oleh kerana dendam kesumat dan geram, beliau sanggup menyalahkan orang yang telah meninggal dunia tanpa ada rasa bersalah pada dirinya.,” katanya.

Ini susulan Pakatan Harapan telah melancarkan manifesto mereka bagi negeri Sarawak yang antara janji yang terkandung dalam manifesto tersebut adalah untuk menaikkan royalti minyak Sarawak dan Sabah dari peratus ketika ini kepada 20 peratus jika Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang meminta rakyat untuk menilai sejauh mana keikhlasan Dr Mahathir dalam tindakan beliau.

“Ternyata beliau sendiri kini terkeliru dan cuba untuk mengelirukan dan sudah tentu, alasan yang akan diberikan beliau hanyalah sekadar ‘terlepas pandang’,” katanya. – MO