Rakyat Malaysia dilarang melawat Korea Utara

 |Sep 28, 2017
Gambar fail kredit Wikimedia Commons.

PETALING JAYA: Kementerian Luar Negeri melarang rakyat Malaysia melawat Korea Utara berkuatkuasa hari ini.

Pendekatan larangan itu sejajar dengan situasi ketegangan yang berlaku di Semenanjung Korea dan isu berkaitan ujian peluru berpandu membabitkan negara pimpinan Kim Jong-un.

“Kementerian Luar Negeri dengan ini memberitahu orang ramai bahawa semua rakyat Malaysia dilarang melawat ke Republik Rakyat Demokratik Korea Utara (Korea Utara) sehingga notis selanjutnya.

“Keputusan ini diambil memandangkan peningkatan ketegangan di Semenanjung Korea dan perkembangan berkaitan yang timbul daripada ujian peluru berpandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, larangan tersebut akan diteliti sebaik saja keadaan di negara berkenaan telah kembali normal.

Ogos lalu, Korea Utara membedil peluru berpandu balistik melepasi Jepun dan jatuh ke dalam Lautan Pasifik di pesisir Hokkaido, Jepun.

Peluru berpandu itu yang dikenali sebagai Hwasong-12 dilepaskan selepas tentera Amerika Syarikat dan Korea Selatan mengadakan latihan ketenteraan tahunan di Semenanjung Korea.

Awal September lalu, Pyongyang telah menggerakkan pesawat dan meningkatkan pertahanan di pantai timur negara itu sebagai respons terhadap tindakan Amerika Syarikat menghantar jet pengebom B-1B ke Semenanjung Korea pada Sabtu lalu.

Terdahulu, ketegangan Malaysia dan Korea Utara timbul berikutan kematian Kim Jong-nam, abang Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari.

Jong-nam, 46, dikatakan dibunuh menggunakan agen saraf VX, oleh dua wanita asing semasa menunggu penerbangan pulang ke Macau.

Pergeseran diplomatik timbul apabila Duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol membuat tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia mengenai cara ia mengendalikan kes itu, yang mengakibatkan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai persona non grata (PNG).

Korea Utara bertindak balas dengan mengisytiharkan Duta Besar Malaysia ke Korea Utara, Mohamad Nizan Mohammad sebagai PNG.

Pada 7 Mac, Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Kuala Lumpur mengambil tindakan sama ke atas warganegara Korea Utara yang berada di negara ini.

Krisis itu berakhir apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan sembilan rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara selamat dibawa pulang ke tanah air. – MO