Disyaki hina almarhum Sultan Kedah: Siasatan dapati hanyalah salah terjemahan

 |Sep 28, 2017

PETALING JAYA: Gara-gara penterjemahan automatik yang salah pada sistem di laman Facebook, seorang lelaki sebelum ini ditahan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menghina kemangkatan almarhum Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Malaysia Outlook menghubungi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai lelaki berusia 21 tahun yang ditahan pada 13 September lalu.

Acryl Sani memaklumkan siasatan mendapati terdapat unsur salah faham akibat penterjemahan automatik pada sistem yang ada di laman Facebook.

Menurutnya, kenyataan yang dimuat naik oleh remaja itu telah salah diterjemahkan kerana komen asal dibuat di dalam bahasa Cina.

“Mungkin tiada dakwaan dikenakan kerana siasatan mendapati itu bukan salah dia.

“Kami mendapati ada kesalahan pada penterjemahan apabila remaja itu menulis dalam bahasa Cina dan apabila diterjemahkan kepada bahasa Inggeris ada berlaku kesilapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Lelaki tersebut ditahan kira-kira pukul 12.27 tengah malam pada 13 September lalu di sebuah rumah di Genting Highlands dan polis merampas seunit telefon bimbit jenama Apple Model iPhone 7 Plus dan seunit laptop MSI Gaming G Series.

Susulan itu, lelaki tersebut direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

Pada 12 September lalu, lelaki berkenaan telah menulis dalam bahasa Cina di ruangan komen seorang ahli politik.

Bagaimanapun, komennya mendapat kritikan netizen selepas diterjemahkan kepada bahasa Inggeris yang membawa maksud lain daripada teks asalnya.

Setelah komennya menjadi viral di media sosial, lelaki tersebut memuat naik status di laman Facebook menjelaskan salah faham yang mungkin berlaku.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 40 tahun didakwa semalam selepas memuatnaik komen yang dilihat menghina kemangkatan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Sheikh Noor Affandi Sh. Ab. Ghani dituduh di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di Mahkamah Siber Kuala Lumpur, semalam.

Tertuduh dijatuhi hukuman denda sebanyak RM5,000 dan tujuh hari penjara selepas mengaku bersalah atas perbuatan tersebut.

Acryl Sani turut menasihatkan orang ramai supaya menjadi rakyat yang bertanggungjawab dan berfikir sebelum membuat sesuatu.

“Jangan sesekali menyalahgunakan laman sosial untuk membuat sebarang komen yang dilihat sebagai biadap, kurang ajar atau penghinaan terhadap sesiapapun lebih-lebih lagi terhadap institusi raja serta pemimpin-pemimpin negara.

“Tindakan tidak bermoral seperti ini dikhuatiri mampu mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat selain mengganggu-gugat keamanan serta ketenteraman di negara ini,” katanya. – MO