Tragedi Pusat Tahfiz: Suspek didakwa esok

 |Sep 27, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Enam daripada tujuh suspek yang ditahan susulan kes kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah akan didakwa di Mahkamah Jalan Duta, esok.

Difahamkan, dua daripada mereka akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala selebihnya mengikut seksyen berbeza di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis sudah melengkapkan siasatan dan sebahagian suspek akan dibawa ke mahkamah untuk didakwa.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati bukan semua suspek yang ditahan terlibat dalam perbuatan membakar pusat tahfiz yang berlaku pada 14 September lalu hingga mengorbankan 23 mangsa.

“Mereka yang terlibat secara aktif sahaja yang akan didakwa di mahkamah dan lain-lain itu akan diambil tindakan lain seperti disiasat mengikut seksyen berkaitan dadah atau menjadi saksi untuk pendakwaan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Noor Rashid berkata, pihaknya akan terus menjalankan siasatan sekiranya ada ruang dan maklumat baru untuk mengukuhkan bukti sehingga perbicaraan tamat.

Semalam pasukan penyelam polis ditugaskan di Taman Tasik Datuk Keramat bagi mencari bahan bukti iaitu pemutar skru yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian kebakaran.

Bagaimanapun, tiada sebarang objek yang boleh dikaitkan ditemui.

Sehari sebelum itu ketujuh-tujuh suspek dibawa ke lokasi kejadian dipercayai bagi menerangkan kepada pegawai penyiasat mengenai situasi yang berlaku pada hari kejadian.

Kebakaran pusat tahfiz itu mengorbankan 21 pelajar dan dua warden selepas tingkat tiga bangunan tersebut terbakar.

Susulan itu, polis menahan tujuh remaja lelaki berusia 11 hingga 18 tahun bagi membantu siasatan.

Jumaat lalu, tempoh reman tujuh suspek disambung semula tujuh hari sehingga 28 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api. – MO