Perkasa UK tegur saranan Zaid seru golongan muda berhijrah

 |Sep 27, 2017
Gambar fail kredit David Iliff (Lesen: CC-BY-SA 3.0).

PETALING JAYA: Kelab Perkasa di United Kingdom menyelar kenyataan Datuk Zaid Ibrahim yang menyeru golongan muda untuk berhijrah ke negara Inggeris itu untuk mendapatkan peluang kehidupan yang lebih baik.

Pengerusinya, Ainor Izman Mahmood berkata, walaupun UK sebuah negara maju namun keadaan di Malaysia jauh lebih baik dari segi peluang dan amalan agama.

“Di UK, tiada sebarang keistimewaan dan kemudahan spesifik yang dijanjikan kepada kita untuk memulakan langkah di sini. Segalanya bergantung kepada tubuh badan sendiri.

“Kita juga perlu bersaing dengan bangsa lain selain daripada penduduk UK, terutamanya penduduk dari Kesatuan Eropah (EU) yang lebih diberikan keutamaan untuk mendapatkan pekerjaan dan sebagainya. Adakah ini menjanjikan kehidupan yang lebih baik di UK?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, dari konteks keagamaan, kemudahan untuk mengamalkan dan menganjurkan aktiviti berteraskan keagamaan di Malaysia adalah lebih baik berbanding di UK.

Menurutnya, individu tidak ada rasa takut untuk mengamalkan ibadah mengikut agama masing-masing dan tiada pandangan serong daripada bangsa atau agama lain.

Ainor berkata, tidak salah untuk keluar negara untuk menimba ilmu pengetahun dan pengalaman terutamanya di negara maju seperti UK dan Amerika Syarikat.

“Kita boleh menghayati secara terus pengalaman di negara maju dari segenap segi seperti sistem pendidikan, kehidupan dan sebagainya. Bak kata pepatah, jauh perjalanan, luas pandangan dan pengalaman.

“Tetapi adakah ianya menjanjikan kehidupan yang lebih baik kepada kita di sana? Secara prinsipnya, kehidupan kita akan lebih baik sekiranya kita sendiri yang berusaha untuk mengubah hidup kita, tidak kira di mana kita berada,” katanya.

Jelasnya, Perkasa menggalakkan rakyat Malaysia untuk keluar negara terutamanya ke UK bagi menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman, tetapi perlu pulang semula ke tanah air bagi menyumbangkan ilmu dan pengalaman yang dipelajari dan sekaligus membantu dalam membangunkan bangsa dan tanah air.

Menurutnya, semangat kecintaan dan patriotik terhadap negara perlu disematkan dengan erat di dalam diri.

“Jangan kita sekali-kali menjadi kacang yang lupakan kulit. Sehebat mana pun negara orang, secanggih mana pun sistem yang diguna pakai, negara sendiri adalah lebih baik. Bak kata pepatah, ‘hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik negara sendiri’,” katanya.

Zaid menerusi perkongsian di laman blognya Isnin lalu menganggap Malaysia sebagai negara orang Islam yang ‘sakit’ dan menggambarkan negara ini menunjukkan perkara yang salah selain pengamalan rasuah dan salah guna kuasa.

Oleh itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyeru orang Islam di sini menerima konsep hijrah dalam Islam untuk bebas daripada penyeksaan. – MO