Kanak-kanak 5 tahun maut jatuh bangunan

 |Sep 27, 2017

SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas terjatuh dari tingkat enam pangsapuri di U11, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, mangsa dipercayai tinggal bersendirian bersama adiknya yang berusia tiga tahun.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, bapa mangsa berada di tingkat bawah pangsapuri menemui rakannya berkenaan beberapa urusan.

“Siasatan awal mendapati bapa mangsa telah mengunci pintu dari luar manakala adik mangsa sedang tidur.

“Mangsa dipercayai memanjat tandas duduk dan keluar ikut tingkap tandas lalu terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam (HSA) dan disahkan meninggal dunia pada jam 1.30 pagi.

Difahamkan, mangsa merupakan cucu kepada bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Rejal Arbee dan ibu mangsa telah meninggal dunia empat bulan lalu.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – MO