Remaja lelaki pukul ibu kerana duit

 |Sep 27, 2017
Gambar paparan skrin dari video yang viral di media sosial sejak petang semalam.

PETALING JAYA: Susulan sebuah video yang menjadi viral di media sosial sejak petang semalam, di mana seorang remaja lelaki kelihatan memukul ibunya kerana mahukan wang belanja sekolah, polis mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Menurutnya, bapa remaja terbabit membuat laporan polis pagi semalam berhubung kejadian selepas menerima rakaman video daripada anak perempuannya.

Katanya, bapa remaja terbabit memberikan video itu kepada guru sekolah anaknya dengan niat supaya guru terbabit dapat menasihati anak lelakinya.

“Pengadu menerima banyak panggilan daripada saudara mara yang bertanyakan mengenai video terbabit berikutan ia sudah tular di Facebook, dipercayai dimuat naik seorang individu menggunakan nama ‘Jejaka Sereng’.

“Pengadu membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri, keluarga serta anak lelakinya. Pengadu dan isteri juga enggan tindakan diambil terhadap beliau atau mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hamzah menjelaskan wanita di dalam rakaman video terbabit tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Hamzah berkata, pihaknya sudah merakam keterangan dua beranak itu dan ujian air kencing yang dilakukan terhadap remaja lelaki itu didapati negatif dadah.

Perbuatan biadap remaja berusia 15 tahun itu menerima kritikan netizen setelah video tersebut dikongsi di pelbagai platform media sosial.

Dalam video berdurasi 42 saat itu, remaja berkenaan dilihat beberapa kali memukul ibunya sambil mengeluarkan kata-kata kesat dan memaksa ibunya memberikan semua wang dalam beg tangan tersebut.

Remaja lelaki yang belum sempat memakai seluar sekolah itu terus memarahi dan cuba menakutkan ibunya dengan membaling kerusi berwarna merah.

“Sakitlah abang long,” kata wanita tersebut dan memberitahu dia tiada wang namun, tidak diendahkan remaja terbabit sebaliknya mengugut mahu memukul lagi.

Wanita itu juga memberitahu anaknya bahawa wang yang ada mahu digunakan untuk pergi bekerja.

Dalam video tersebut turut kedengaran suara seorang wanita yang seperti memarahi remaja berkenaan dan mengatakan tidak perlu ke sekolah dengan kelakuan itu.

Sementara itu, akaun ‘Jejaka Sereng’ yang memuat naik video tersebut sehingga tular telah mengemukakan permohonan maaf terhadap keluarga remaja terbabit.

Menerusi satu entri di Facebook, ‘Jejaka Sereng’ turut mengakui kesilapannya dan memberitahu tidak berniat untuk memburukkan sesiapa.

“Assalamualaikum kehadapan keluarga Syukri, saya ingin memohon maaf diatas kesilapan dan kesalahan saya kerana telah menviralkan video yang tidak sepatutnya saya postkan dilaman sosial Facebook ini.

“Saya akui diatas kesalahan yang telah saya lakukan kerana menviralkan video tersebut.

“Saya tidak berniat untuk memburukkan sesiapa. Saya berharap permohonan maaf ini diterima oleh pihak keluarga Syukri,” tulisnya. – MO