Hijrah ke London: ‘Nasihat’ Zaid dikritik

 |Sep 26, 2017
Gambar fail kredit Twitter Zaid Ibrahim.

PETALING JAYA: Gesaan Datuk Zaid Ibrahim terhadap golongan muda di Malaysia supaya berhijrah ke United Kingdom (UK) mendapat respon yang negatif daripada aktivis yang memperjuangkan hak rakyat.

Presiden Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu seolah-olah mengalakkan golongan muda ke kancah maksiat dan melakukan perkara haram sedangkan Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Menurutnya, Zaid sewajarnya menggunakan platformnya sebagai pemimpin untuk memastikan nasib anak muda terbela daripada memudahkan kerjanya dengan mengesa golongan tersebut berhijrah ke luar negara.

“Sepatutnya bukan melepaskan tangan tetapi memberikan peluang dan ruang kepada golongan muda dengan bantuan yang sudah ada untuk lebih maju lagi.

“Dia (Zaid) pun ada terlibat dalam politik dan laksanakanlah tanggungjawab sewajarnya dan tidak perlu suruh golongan muda ini berhijrah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Zaid dalam blognya semalam yang menggelar Malaysia sebagai sebuah negara Muslim yang ‘sakit’ dan menggesa umat Islam terutamanya golongan muda berhijrah ke London kerana kehidupan di sana lebih baik.

Zaid turut mendakwa rasuah dan penyalahgunaan kuasa diagungkan, tetapi festival bir dilihat sebagai contoh kejahatan.

Ini susulan bantahan daripada beberapa pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia yang menolak permit dan membatalkan acara Festival “Better Beer” 2017 yang dijadualkan pada Oktober depan.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menganggap Zaid mempunyai fahaman yang berbeza dalam konteks Islam.

Beliau bagaimanapun tidak menghalang mana-mana individu yang mahu melakukan penghijrahan ke luar negara sekiranya menganggap keadaan di luar negara adalah lebih baik daripada negara sendiri.

“Mungkin untuk dapatkan rezeki dan untuk kebaikan tidak salah untuk berhijrah tetapi ada sesetangah orang pulak yang mungkin keadaannya belum tentu baik di sana (luar negara).

“Semua negara ada undang-undang dan perlembagaan, jika mahu kekal di negara ini, perkara itu harus dipatuhi dan jika tidak suka boleh berhijrah, tiada siapa melarang,” katanya.

Jelasnya, mengenai pesta arak itu bukanlah suatu perkara yang baik dan tidak perlu dipromosikan.

“Kalau minum arak boleh jadi pandai mungkin ramai yang ikut dan begitu juga dadah. Tetapi lihat sendiri kemalangan yang berlaku akibat pengambilan arak ini.

“Dia (Zaid) orang pandai dan mungkin kehadapan, sehingga kita tidak mampu nak mengikut kepandaiannya dan cukup kita ikut kemampuan kita sahaja,” katanya menyindir.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Modal Insan Perkasa, Datuk Sirajudin Mohd Salleh menyifatkan tindakan Zaid itu adalah ekstrem namun bukan sesuatu yang memeranjatkan.

Beliau bagaimanapun menyeru golongan fahaman liberal untuk tidak memberikan ruang dan peluang kepada anti-Islam untuk ‘menyerang’ umat Islam di negara ini.

“Fahaman ini buat masyarakat keliru dan membuatkan yang anti-Islam guna kesempatan ini, berani menyerang kerana ada peluang.

“Saya harap mereka yang terlalu moden pemikiran ini jangan buat serangan terus terhadap umat Islam di negara ini kerana kita sendiri tidak pernah menyerang agama lain,” katanya. – MO