Artis yang pijak kita sendiri, bukan orang lain, kata Sahara Yaacob

 |Sep 26, 2017
Sahara Yaacob (kiri) di majlis pelancaran Biro Artis Pekira hari ini. – Foto MO Noraizura Ahmad.

KUALA LUMPUR: Penyanyi kontroversi era 1980-an, Sahara Yaacob kesal dengan pengurusan pertubuhan pengamal seni yang disifatkan gagal memperjuangkan nasib artis terutamanya golongan veteran.

Dakwanya, persatuan artis yang ada kini mengamalkan sikap pilih kasih dan tidak bersunguh-sungguh dalam membela nasib artis Malaysia.

“Ada juga situasi yang mereka (persatuan artis) ini memboikot saya dan hanya menjemput rakan-rakan terdekat mereka sahaja untuk menghadiri satu majlis.

“Mereka ini sepatutnya memperjuangkan hak artis dan Perdana Menteri sudah memberi peruntukan tetapi sudah setahun lebih saya hidup dalam kesusahan dan satu sen pun tak dapat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Biro Artis Pekira Malaysia di Hotel Sani, di sini, hari ini.

Sahara yang mendapat jolokon Tina Turner Malaysia pada era kegemilangannya itu nyata kecewa dengan salah sebuah persatuan artis veteran Malaysia. Dakwa Sahara, presiden salah satu persatuan tersebut mendakwa dirinya difitnah dan keahliannya tidak diterima kerana dilabelkan sebagai penyanyi kelab malam dan beberapa tohmahan lain termasuk minum arak.

Menurutnya yang sudah 40 tahun terlibat dalam industri seni muzik ini, tindakan itu menimbulkan kemarahannya kerana persatuan artis sewajarnya memperjuangkan nasib ahlinya tetapi seolah-olah dipermainkan oleh golongan artis sendiri.

“Jangan dihina saya kerana golongan kami yang membuka pintu dunia seni untuk mereka masuk hari ini. Kita sudah perjuangkan dahulu dan mereka tiada hak untuk menghina artis lain.

“Apa sebenarnya mereka menubuhkan persatuan jika semuanya pilih kasih? Sepatutnya persatuan ini untuk membantu artis,” katanya.

Jelasnya, sudah tiba masanya persatuan artis ini menamatkan sikap pilih kasih mereka dan memberi tumpuan kepada memperjuangkan nasib artis Malaysia terutamanya yang veteran seperti Siti Aminah Ismail atau lebih dikenali sebagai Mimi Loma dan lain-lain.

Sementara itu, Sahara, 61, menyifatkan penyertaannya dalam biro artis Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) dapat membuka lembaran yang lebih baik dalam kehidupannya.

Menurutnya, Pekira yang diketuai Datuk Mohd Ridzuan Abdullah dilihat sebagai pejuang yang banyak memperjuangkan masalah rakyat terutamanya golongan peniaga.

“Kita mahu orang yang betul-betul sayangkan artis dan menjadi harapan besar kita untuk Pekira yang tahu penderitaan ini, membantu memperjuangkan nasib artis.

“Kami tidak mahu lagi dipermainkan mereka, yang sudah tu sudahlah,” katanya.

Selain Sahara, kira-kira 30 artis turut sama menyertai biro artis Pekira ini termasuk penyanyi, Ramlah Ram, Rem, Hail Amir, Halil Chik, komposer Azman Abu Hassan dan ramai lagi. – MO