Afdlin Shauki kini bergelar Datuk

 |Sep 26, 2017
Foto kredit Instagram @afdlinshaukiofficial.

PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon Afdlin Shauki menjadi antara 155 penerima darjah kebesaran Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Afdlin, 46, menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Menerusi posting di laman Instagram, Afdlin memuat naik gambar bersama ibunya dengan tulisan, “Gang haji saya ada dengan saya semasa ambil kurnia. Ini semua berkay doa dia. Love you hajjah mummy.”

Pengacara dan pelakon, Datuk AC Mizal juga mengucapkan tahniah di atas pengurniaan Darjah DIMP itu.

“Saya dan isteri ingin mengucapkan tahniah buat rakan kongsi (partner) kami dan juga abang Afdlin atas Pengurniaan Darjah Kebesaran DIMP yg membawa kepada title Dato kpd Dato’ Afdlin Shauki.

“Semoga perjalanan baru ini akan membawa kejayaan kepada Syok Tv dan hidup kita. Biar kami menjadi yang pertama mengucapkan tahnian dan Alhamdulillah atas rezeki Allah untuk anda,” tulisnya.

Semalam, Afdlin seolah-olah memberikan petunjuk mengenai gelaran yang bakal diterimanya apabila berkongsi gambar di dalam Balairung Seri, Istana Abu Bakar.

Selain Afdlin, jutawan kosmetik Datuk Aliff Syukri Kamarzaman turut dianugerahkan darjah Sri Sultan Ahmad Shah Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat mencemar duli mengurniakan darjah dan pingat kebesaran itu kepada 155 penerima keseluruhannya.

Tiga adinda Sultan Pahang, Tengku Datuk Kalsom Sultan Abu Bakar; Tengku Datuk Norazahan Sultan Abu Bakar dan Tengku Datuk Noor Ashikin Sultan Abu Bakar mendahului senarai penerima dengan dikurniakan SSAP. – MO

SHARE