Pemilihan semula CEC DAP: RoS hantar surat persetujuan pelantikan badan pemantau bebas

 |Sep 25, 2017
Gambar fail kredit The Rakyat Post.

PETALING JAYA: Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah menyatakan persetujuan mengenai pelantikan badan pemantau bebas yang ditetapkan DAP bagi pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti tersebut.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, surat persetujuan tersebut dihantar hari ini kepada DAP untuk tindakan selanjutnya.

“DAP boleh menetapkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan pemilihan semula CEC sekiranya bersetuju dengan arahan yang dikeluarkan.

“Kami sudah menghantar surat jawapan kepada mereka dan tidak menetapkan tarikh pemilihan untuk mereka,” katanya ketika dihubungi Malaysia Outlook.

Beliau menjelaskan DAP perlu menetapkan tarikh pemilihan selagi mereka boleh mematuhi tempoh notis yang ditetapkan RoS.

Mohammad Razin bagaimanapun enggan mendedahkan tempoh notis berkenaan dan terpulang kepada DAP untuk menetapkan tarikh yang sesuai selagi mematuhi arahan yang dikeluarkan.

Sementara itu, Ketua Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo berkata, pihaknya sudah menerima surat persetujuan daripada RoS hari ini dan satu mesyuarat akan diadakan bagi tindakan selanjutnya.

“Kita sudah terima surat itu dan kami akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan kandungan surat ini secepat yang boleh.

“Kami akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi selepas mesyuarat tersebut,” katanya yang enggan mendedahkan tempoh notis berkenaan.

Terdahulu, RoS telah mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC yang baharu kerana mendapati pelantikan anggota CEC dan pemegang jawatan utama melalui pemilihan semula pada 29 September 2013, adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Menurut ROS, pemilihan semula diadakan itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012, iaitu membabitkan 2,576 perwakilan daripada 865 cawangan. – MO