Pembangkang hipokrit, kata Budiman

 |Sep 25, 2017
Gambar fail kredit Facebook Azmin Ali.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd Zohdi menyifatkan lawatan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke China baru -baru ini jelas membuktikan sikap hipokrit parti pembangkang.

Menurutnya, parti pembangkang sebelum ini mengkritik lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke China tidak menguntungkan negara, sedangkan pemimpin Pakatan Harapan sendiri cuba menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ditadbir mereka.

“Walaupun belum lagi dikeluarkan apa-apa laporan hasil lawatan tersebut, ternyata segala yang cuba diraih oleh kerajaan negeri Selangor adalah hasil dari inisiatif dan kerja keras yang telah dimulakan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Perdana Menteri menggerakkan pelbagai usaha bagi membawa masuk pelaburan dari China, sama ada melalui peringkat antara kerajaan (G2G), perniagaan ke perniagaan (B2B) mahupun rakan setara (P2P) seperti lawatan ke republik itu pada Mei lalu.

“Hasilnya, jumlah pelaburan China ke Malaysia mencecah lebih RM30 bilion, selain menempa laluan untuk Ali Baba Group membuka hab pengedarannya di Sepang yang secara tidak langsung membawa pulangan kepada kerajaan Selangor.

“Bagaimanapun, kejayaan Perdana Menteri membawa sejumlah pelaburan yang besar ini dijadikan modal politik pembangkang dengan mendakwa Kerajaan Persekutuan menjual negara kepada China,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Sungai Besar itu berkata, lawatan Timbalan Presiden PKR itu ke China tidak akan berlaku jika tiada usaha awal dirintis Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, lawatan Azmin ke China jelas adalah suatu lagi tindakan hipokrit pembangkang yang selama ini menyatakan segala usaha pelaburan yang dibuat kerajaan persekutuan sebagai sesuatu yang tidak memberi keuntungan kepada negara.

“Rakyat juga tidak harus ditipu melalui segala terma ekonomi serta pelaburan yang digunakan oleh pihak pembangkang dalam cubaan mengelirukan kefahaman rakyat serta membandingkan usaha mereka dengan perkara yang dibuat oleh kerajaan persekutuan.

“Rakyat tidak lupa juga sikap hipokrit pembangkang apabila kerajaan negeri Pulau Pinang turut sama mendapatkan pinjaman dari negara China bagi menampung perbelanjaan pembangunan di negeri tersebut.

“Apa yang pasti, pihak pembangkang hari ini umpama meludah ke langit. Cukup-cukuplah mengelirukan rakyat dengan sikap hipokrit mereka. Tindakan mereka ini bukan sahaja hipokrit malah cuba meraih keuntungan dan hasil dari usaha yang telah mereka kritik sebelum ini,” katanya. – MO