Parti politik baru Pekira gesa RoS luluskan segera pendaftaran

 |Sep 25, 2017
Mohd Ridzuan Abdullah (tengah) semasa pelancaran jentera pilihan raya Pekira pada 12 September di Kuala Lumpur. – Gambar fail kredit Facebook Parti Ekonomi Rakyat Malaysia.

PETALING JAYA: Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) mendesak Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) meluluskan segera pendaftaran parti baharu tersebut selepas membuat permohonan secara dalam talian pada Mei lalu.

Presidennya, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa RoS seperti tarik tali untuk memberikan kelulusan pendaftaran terhadap parti yang menurutnya, jelas memberikan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ridzuan ketika dihubungi Malaysia Outlook hari ini menyatakan kekesalan dengan jawapan RoS yang memaklumkan keputusan untuk kelulusan parti itu terletak di tangan Kementerian Dalam Negeri.

“Sudah dua kali kami menghantar gambar dan aktiviti parti yang jelas mendapat sambutan hangat daripada rakyat dan memberi sokongan kepada kerajaan namun saya tidak faham mengapa parti ini tidak mendapat kelulusan yang cepat berbanding parti pembangkang.

“Kami sudah berkali-kali menyatakan sokongan kepada kerajaan tetapi mengapa sehingga hari ini mereka tidak memberikan kelulusan dan pelik perkara ini berlaku.

“Mereka (RoS) kata parti poilitik adalah kuasa menteri. Adakah mungkin mereka takut dengan parti kita?” katanya lagi.

Menurutnya, satu tindakan luar biasa akan dilakukan sekiranya tiada respon daripada RoS mengenai kelulusan Pekira.

Mengulas mengenai Pekira, Mohd Ridzuan berkata, parti baharu yang ditubuhkan itu dianggap sebagai sebuah parti yang dapat menarik pengundi yang berada di atas pagar dan ini dapat membantu kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti sekaligus menjadikan parti itu sebagai benteng kepada BN untuk menarik semula pengundi yang berada di atas pagar.

“Adakah mereka takut dengan penubuhan parti ini berlaku perpecahan? Dalam BN pun banyak berlaku perpecahan tetapi apabila berlaku perpecahan semua lari kepada pembangkang dan Pekira ini sebagai benteng BN kerana sekurang-kurangnya kita boleh menarik mereka kembali,” katanya lagi.

Kata Mohd Ridzuan, Pekira memfokuskan kepada menyelesaikan masalah membabitkan kos sara hidup rakyat dan tiada masa untuk menghentam parti politik lain seperti kebiasaan yang dilakukan parti politik yang ada sekarang.

Mohd Ridzuan yang juga presiden Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mendakwa keahlian Pekira sudah mencecah 16,000 orang dan kebanyakannya adalah golongan peniaga.

Sementara itu, Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah ketika dihubungi menafikan dakwaan Mohd Ridzuan mengenai proses kelulusan Pekira sebagai sebuah parti politik yang sengaja dilambatkan prosesnya.

Menurutnya, permohonan Pekira masih dalam proses dan perlu melalui beberapa peringkat termasuk tapisan keselamatan sebelum keputusan kelulusan dibuat.

“Apabila sudah selesai beberapa tapisan, kita akan buat keputusan,” katanya.

Mohammad Razin menjelaskan dakwaan Mohd Ridzuan mengenai kelulusan daripada Menteri KDN dan kelulusan untuk parti pembangkang dilakukan dengan cepat adalah pandangan peribadinya semata-mata.

“Itu adalah tanggapan mereka dan tiada perkara tersebut berlaku di mana parti politik pembangkang mendapat kelulusan cepat.

“Ada beberapa perkara perlu dilalui termasuk tapisan keselamatan yang perlu diambil kira dan apabila selesai proses itu satu keputusan akan dibuat,” katanya.

Jelasnya, RoS tidak mempunyai satu tempoh khas yang ditetapkan untuk memberi kelulusan kepada parti politik dan beberapa proses perlu dilalui sebelum diluluskan.

Semakan Malaysia Outlook di laman Facebook, Pekira, parti itu dilihat aktif menerima keahlian di beberapa buah negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Pada 12 September lalu, Pekira telah mengadakan sidang akhbar pelancaran jentera pilihanraya di Kuala Lumpur. – MO