KPKT tubuh jawatankuasa khas siasat dakwaan penipuan rumah mampu milik

 |Sep 25, 2017
Tan Sri Noh Omar melawat kawasan Rumah Pangsa Taman Subang Perdana 3 hari ini. – Foto MO Azrol Ali.

SHAH ALAM: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan penipuan rumah mampu milik yang dijalankan beberapa syarikat dibawah skim perumahan yang tidak sah.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, jawatankuasa khas itu ditubuhkan selepas KPKT menerima banyak laporan penipuan mengenai syarikat yang menguruskan pembelian rumah mampu milik di seluruh negara.

Menurutnya, jawatankuasa yang ditubuhkan secara strategi lautan biru kebangsaan (NBOS) berkuatkuasa esok diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, K. N. Jayaselan dengan kerjasama agensi kerajaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Rakyat (KPDNKK) serta beberapa agensi berkaitan.

Jelasnya, jawatankuasa khas ini akan menyiasat dakwaan orang ramai mengenai skim penipuan rumah mampu milik yang semakin tular di media sosial dan mengenal pasti syarikat yang menjalankan skim perumahan tidak sah.

“Saya berharap mana-mana individu yang mendakwa ditipu supaya tampil memberikan maklumat dan dokumen perjanjian jual beli yang telah dibuat dengan syarikat perumahan tidak sah ini.

“Apabila maklumat lengkap diperolehi, kami yakin tindakan dapat diambil termasuk tindakan undang-undang,” katanya selepas lawatan kerja ke kawasan Dun Kota Damansara di Rumah Pangsa Taman Subang Perdana 3 hari ini.

Menurutnya, setakat ini dua syarikat telah dikenal pasti menawarkan skim penipuan rumah mampu milik.

Jelasnya, KPKT memandang serius dakwaan mengenai syarikat yang menjalankan skim penipuan rumah mampu milik ini kerana mengambil kesempatan terhadap rakyat.

Katanya, syarikat yang menjalankan skim tersebut tidak dilesenkan di bawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1996 atau dikenali dengan Akta 118.

Sementara itu, Noh ketika ditanya mengenai syarikat DBI Properties milik selebriti tempatan Dato Boy Iman, enggan mengulas dan meletakkan keputusan kepada jawatankuasa khas KPKT untuk menyiasat perkara tersebut.

“Saya nak tengok betul atau tidak mereka (DBI) menggunakan nama saya. Kita akan siasat perkara ini,” katanya.

Jelasnya, pembeli yang didakwa ditipu boleh membuat aduan terus ke bahagian Penguakusaan Jabatan Perumahan Negara di talian 03-8891 4355 /03-8891 4356.

Minggu lalu, Noh menulis di Facebooknya menyatakan beliau terkejut apabila namanya dikaitkan dengan skim perumahan yang diusahakan oleh syarikat DBI Properties Sdn Bhd.

Noh menjelaskan video yang menunjukkan beliau hadir di sebuah acara DBI Properties merupakan majlis jamuan Hari Raya dan bukan program rasmi.

“Sebelum balik saya telah diminta oleh Dato Boy Iman untuk merasmikan ibu pejabat DBI Properties dan diminta untuk memberi ucapan,” kata Noh pada 21 September lepas.

“Untuk makluman semua skim perumahan DBI Properties ini tidak ada kaitan dengan KPKT kerana skim perumahan ini tidak dilesenkan dibawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1996 atau dikenali dengan Akta 118. Skim seperti ini tidak melindungi hak pembeli dan urusan penjualan juga tidak terjamin,” tulis beliau yang turut menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan skim tersebut ataupun mana-mana individu atau syarikat yang terlibat dengan model perniagaan seperti itu.

Sementara itu, KPKT mengumumkan pemberian RM8 juta untuk kos baik pulih rumah pangsapuri kos rendah dan sederhana di Dun Kota Damansara.

Menurut Noh, kebanyakan rumah pangsapuri ini sudah lebih 15 tahun dibina dan terdapat beberapa kerosakan terutamanya bumbung dan lif.

“Ini sumbangan kita kepada rakyat terutama mereka yang tinggal di rumah kos rendah dan tahu mereka tidak mampu untuk menanggung kos penyelenggaraan,” katanya. – MO