Tunjuk kebolehan kita, kata bekas atlet tenis kerusi roda

 |Sep 21, 2017
A Tangarajoo merupakan bekas atlet tenis kerusi roda. – Foto MO Noraizura Ahmad.

KUALA LUMPUR: “Kalah menang adat pertandingan tetapi kita harus tunjuk kebolehan kita.”

Itu kata-kata semangat bekas atlet tenis kerusi roda yang turut turun padang memberi sokongan kepada atlet para yang mewakili negara di Sukan Para Asean 2017.

Bagi A Tangarajoo, 47, altet para negara bertuah kerana diberikan sokongan penuh kerajaan berbanding zamannya semasa memulakan karier dalam bidang sukan.

Menurutnya, kerajaan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) kini memberi sokongan dari sudut kewangan dan peluang bagi memudahkan atlet memberi tumpuan sepenuhnya kepada sukan yang diceburi masing-masing.

“Saya dahulu mengalami situasi yang tidak banyak sokongan daripada kerajaan dan badan korporat dan hanya bergantung kepada individu untuk cari penganjur untuk pergi ke luar negara bagi menjalani latihan.

“Saya percaya dengan adanya sokongan seperti ini, mereka tidak perlu berfikir untuk bekerja dan beri sepenuh perhatian dalam latihan,” katanya ketika ditemui di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), di sini.

Tangarajoo yang melibatkan diri dalam sukan tenis selepas diberi peluang oleh Persatuan Kerusi Roda Negara ketika berusia 20 tahun, telah menyertai beberapa kejohanan termasuk di luar negara.

Menyingkap kembali awal pembabitannya dalam sukan tersebut, Tangarajoo berkata, dia terpaksa bekerja pada siang hari dan menjalani latihan pada waktu petang.

Beliau meneruskan penglibatan dalam sukan tenis selama 12 tahun dan melanjutkan latihan di MSN selama dua tahun sebelum terpaksa menarik diri selepas berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Perkahwinan bersama Balle, 47, yang juga seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) dikurniakan seorang anak lelaki, Sudarshan, 5 tahun.

Penglibatannya dalam sukan tenis berjaya meraih johan dalam beberapa kejohanan yang diadakan di Korea Selatan, Sepanyol dan Thailand.

Mengulas mengenai prestasi atlet Sukan Para Asean setakat ini, Tangarajoo berkata, beliau yakin dengan pencapaian atlet dan mereka bakal membawa kejayaan berganda buat negara.

“Saya percaya skuad Para Asean akan memberikan yang terbaik kerana sudah ada sokongan kerajaan dan mereka mampu membutikan kebolehan mereka,” katanya.

Tangarajoo yang kini menyara keluarga dengan menjual kacang di Selayang sudah tidak aktif dalam sukan tenis kerana memberi tumpuan kepada keluarga. – MO