Tragedi Pusat Tahfiz: Bomba sahkan punca kebakaran akibat perbuatan sengaja

 |Sep 21, 2017
21 pelajar dan dua warden meninggal dunia selepas terperangkap dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah minggu lalu. – Foto fail MO.

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan punca kebakaran bilik asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat yang mengorbankan 23 nyawa pada Khamis minggu lalu adalah akibat perbuatan sengaja.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan mendapati api bermula di pintu masuk bilik asrama aras tiga berdasarkan keterangan mangsa yang selamat.

Menurutnya, dua buah tong gas ditemui dan mendapati kedua-dua silinder tersebut telah kosong dan injapnya dalam keadaan terbuka.

“Pada masa sama, Unit Pengesan (K9) telah mengesan tujuh tempat dan tujuh sampel telah diambil di hadapan pintu masuk bilik asrama tersebut.

“Dalam kes ini empat ekor anjing telah digunakan dan kesemuanya menunjukkan ke tempat yang sama. Sampel ini telah dianalisa oleh Pegawai Kimia di Makmal Penyiasatan Kebakaran Kuala Lumpur dan didapati empat sampel tersebut mengandungi residue cecair mudah menyala jenis petrol,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.

Katanya lagi, kebakaran di pusat tahfiz tersebut dipercayai disebabkan oleh api yang dinyalakan menggunakan petrol yang telah dicurahkan pada rak kasut, tuala dan dinding di hadapan pintu masuk bilik asrama tingkat tiga.

Jelasnya, kebakaran api marak dengan cepat disebabkan gas LPG yang dilepaskan daripada kedua-dua silinder itu menyebabkan ianya merebak dengan cepat ke seluruh bilik asrama.

“Tambahan pula, fire load (bahan mudah terbakar) yang banyak di bilik asrama menyebabkan api cepat marak dan meningkatkan lagi bahang api, mengakibatkan mangsa yang sedang tidur terkorban dalam masa yang singkat,”

“Berdasarkan penemuan-penemuan tersebut, punca kebakaran adalah perbuatan sengaja dibakar,” katanya.

Wan Mohd Nor berkata, punca kejadian yang disebabkan perbuatan senjaga dibakar diketahui pada tengah hari pada hari kejadian dan dimaklumkan kepada polis selepas sampel bahan api yang ditemui dianalisa di makmal.

Menurutnya, laporan penuh berhubung siasatan yang dilakukan JBPM telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian 5.15 pagi itu, 21 pelajar dan dua warden meninggal dunia selepas terperangkap dalam kebakaran.

Susulan tragedi itu, polis menahan tujuh remaja berusia 11 hingga 18 tahun, yang disyaki mendalangi kebakaran premis itu.

Wan Mohd Nor menyifatkan kejadian tersebut adalah kedua terbesar dalam sejarah kebakaran membabitkan pusat tahfiz selepas kejadian di Sekolah Agama Taufiqiah Khairiah Al-Halimah, Padang Lumat, Kedah yang mengorbankan seramai 27 pelajar perempuan pada tahun 1989. – MO