Pengawal keselamatan warga Filipina disyaki terlibat aktiviti keganasan ditahan

 |Sep 21, 2017
Foto ihsan PDRM.

PETALING JAYA: Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan tujuh lelaki warga Filipina yang dipercayai ahli kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dalam operasi pada 14 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan itu susulan daripada serbuan dilakukan ke atas sel ASG pada 30 Ogos lalu di ibu negara yang merancang untuk melancarkan serangan pada upacara penutupan Sukan Sea ke-29 dan perbarisan Hari Kemerdekaan ke-60 di Dataran Merdeka.

Menurutnya, tujuh suspek berusia 22 hingga 38 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan di beberapa syarikat swasta di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Seorang suspek yang berusia 22 tahun pernah terlibat dalam pertempuran dengan tentera Filipina dan turut terlibat dalam aktiviti penculikan di selatan Filipina.

“Semua suspek menyelusup masuk ke negara ini melalui Sandakan, Sabah pada September 2015 sebelum berlepas ke Kuala Lumpur menggunakan dokumen perjalanan palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sejak awal tahun ini, seramai 41 warga asing yang dikategorikan sebagai kumpulan pemberontak asing berjaya ditahan.

Katanya, semua suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Fuzi berkata, PDRM akan terus melancarkan operasi susulan bagi mengesan dan menangkap anasir-anasir pengganas asing yang menyusup masuk ke negara ini sama ada untuk berlindung, mengumpul dana, melancarkan serangan atau menjadikan Malaysia sebagai pengkalan operasi mereka bagi merancang serangan ke atas negara ketiga. – MO