MIED beri pinjaman pendidikan RM5.2 juta kepada 504 pelajar

 |Sep 21, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) entiti milik MIC, telah memberi pinjaman pendidikan kepada 504 pelajar masyarakat India dari pelbagai institusi pendidikan dalam dan luar negara berjumlah RM5.2 juta untuk tahun ini.

Pengerusi MIED, Tun S Samy Vellu berkata, jumlah pinjaman terbanyak diberikan kepada pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan diikuti bidang doktor pergigian dan ketiganya membabitkan pelajar dalam bidang kejuruteraan.

Menurutnya, prosedur pinjaman MIED adalah setiap pelajar layak menerima pinjaman maksimum sebanyak RM50,000 sepanjang pengajian.

“Ini adalah usaha kami untuk membantu lebih ramai pelajar yang cemerlang dalam pendidikan untuk meneruskan pelajaran mereka,” katanya ketika penyampaian cek pendidikan MIED di sebuah hotel di ibu negara di sini.

Samy Velu berkata, setiap pelajar juga perlu sedar bahawa setiap pinjaman yang diberikan perlu dibayar balik bagi membantu pelajar lain yang memerlukan seperti mereka.

Menurutnya, MIED berjaya berjaya mengutip balik pinjaman pendidikan bernilai RM10 juta setiap tahun.

“Kami percaya graduan yang telah menamatkan pelajaran akan membayar semula pinjaman pendidikan dan sekiranya gagal mereka boleh berbincang dengan kami untuk memanjangkan tempoh pembayaran kerana akhirnya kami juga mahu wang itu semula,” katanya.

MIED yang menjadi pemberi pinjaman pendidikan swasta yang ulung kepada masyarakat India di Malaysia telah bermula sejak tahun 1984.

Samy Velu berkata, MIED telah memberikan pinjaman pendidikan kepada kira-kira 11,000 pelajar dengan nilai pinjamannya mencecah RM141.7 juta.

“Sehingga kini, MIED berjaya membantu dalam melahirkan 9,900 graduan India melalui pinjaman pendidikan yang membabitkan graduan profesional paling ramai iaitu 2,109 doktor dan 1,902 jurutera,” katanya.

Menurutnya, pinjaman MIED diluluskan berdasarkan status akademik, status kewangan ibu bapa, bidang dan tahun pengajian serta kelulusan yang diberikan mengikut tahunan.

Pada majlis yang sama, 24 pelajar India yang cemerlang dalam pendidikan dan dari keluarga berpendapatan rendah yang kini sedang mengikuti pengajian di Aimst Universititi turut menerima biasiswa berjumlah RM1.2 juta. – MO