Enam pekerja warga asing melecur tong gas meletup

 |Sep 21, 2017
Foto kredit Facebook Rakan Muda Info.

PETALING JAYA: Enam pekerja warga asing melecur akibat disambar api selepas tong gas di tempat mereka bekerja meletup dalam kejadian di sebuah kilang makanan di Jalan Subang 10, Taman Perindustrian Subang, Subang Jaya, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, dua lagi pekerja mengalami kecederaan akibat terkena serpihan letupan.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.04 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya bergegas ke lokasi untuk bantuan memadam api dan menyelamatkan mangsa.

“Kami difahamkan tong gas memasak jenis domestik meletup di bahagian dapur kilang berkenaan sebelum mencetuskan api.

“Seramai enam pekerja asing melecur dibawa keluar dan diberikan rawatan. Manakala dua lagi pekerja turut mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Serdang,” katanya.

Punca kejadian masih dalam siasatan. – MO