Sukan Para Asean: Skuad goalball yakin tempah tiket ke separuh akhir

 |Sep 20, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Skuad goalball lelaki para negara yakin menempah tiket ke separuh akhir selepas menewaskan pasukan Myanmar dalam perlawanan petang tadi.

Jurulatih pasukan, Abdul Karim Raham berkata, kemenangan menentang pasukan Myanmar sudah dijangka dari awal selepas pasukan tersebut berjaya menamatkan badi rekod tanpa menang kepada Thailand pada Isnin lalu.

“Perlawanan hari ini tidak begitu mendatangkan masalah dan semua pemain diberi peluang untuk memberikan persembahan terbaik mereka.

“Kami tinggal satu lagi perlawanan menentang Kemboja esok bagi melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.

“Kami cukup yakin akan menang pada perlawanan menentang Kemboja kerana mereka adalah pasukan baru, ” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), di sini.

Dalam perlawanan itu, pasukan Malaysia berjaya memenangi perlawanan dengan mata 15 berbalas 5 dengan Myanmar.

Pasukan goalball negara disertai enam pemain iaitu Husnaini Samsudin (ketua pasukan), Muhammad Amirul Ahmad, Muhammad Haiqal Azman, Muhammad Hasmawi Abdullah dan Muhammad Nor Amin Mohd Nor Azmi.

Abdul Karim menyifatkan kemenangan tersebut adalah antara yang terbesar selepas anak buahnya berjaya menewaskan pasukan dari Filipina, Thailand dan Indonesia.

Menurutnya, perlawanan menjadi menarik apabila adanya sokongan kuat orang ramai yang menjadikan semangat pemain bertambah.

Sementara itu, Husnani berkata dia optimis dengan pasukannya untuk memenangi perlawanan menentang Kemboja sekaligus membawa pasukannya layak ke peringkat separuh akhir.

Menurutnya, perlawanan menentang Myanmar dianggap mudah dan balingan penalti oleh pihak lawan berjaya dihalang dengan mudah.

“Kami percaya perlawanan menentang Kemboja akan lebih mudah dan tiada masalah.,” katanya.

Pada perlawanan hampir 12 minit itu, skuad negara berjaya mengukuhkan pertahanan dan melakukan serangan bertubi-tubi terhadap Myanmar sehingga menang. – MO

SHARE