Ruang bagi wanita kembangkan bakat dalam bidang keusahawanan

 |Sep 20, 2017
Pengerusi MyWIN Tan Sri Sharizat Abdul Jalil. – Foto MO Azrol Ali.

PETALING JAYA: Agensi Inovasi Malaysia (AIM) bersedia membantu 366 wanita yang berjaya menamatkan kursus dibawah program Akademi Inovasi Wanita (MyWIN) untuk mengembangkan lagi bakat dalam bidang keusahawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Naser Jaafar berkata, bagi peringkat permulaan seramai 20 wanita yang mengikuti program MyWIN dikenali sebagai PEAK akan membentangkan idea mereka dalam masa terdekat.

Menurutnya, penilaian akan dilakukan bagi melihat pembentangan idea yang boleh dipasarkan dan mempunyai potensi yang besar dalam bidang perniagaan.

“Kami sebagai pemangkin untuk membantu mereka ini mencapai impian termasuk memberikan sokongan sama ada bantuan dana kewangan atau cara memasarkan produk sebelum dikomersilkan.

“Kami tidak meletakkan sebarang kriteria perniagaan yang mahu dilakukan mereka dan mahu melihat sendiri idea yang dibentangkan sama ada dalam bidang kejuruteraan atau sebagainya, ” katanya selepas menandatangani Memorandum Persefahaman Kerjasama Strategik antara MyWin dengan PlatCom Ventures Sdn Bhd di Akademi MyWIN di Plaza Vads di sini.

Turut hadir Pengerusi MyWIN Tan Sri Sharizat Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif PlaTCOM Vantures Sdn Bhd Dr Viraj Perera yang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut.

Naser berkata, seramai 125 usahawan telah dibantu dengan perbelanjaan RM65 juta diagihkan sejak 2014.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut 22 peratus adalah usahawan wanita.

Sementara itu Sharizat berkata, kerjasama AIM menerusi PlaTCOM Ventures dapat membuka peluang kepada alumni MyWIN untuk merealisasikan idea mereka dalam bidang perniagaan masing-masing.

Menurutnya, MyWIN mahu melahirkan generasi baru wanita yang berinovasi dalam sektor korporat dan kerjasama tersebut dapat membantu merealisasikan impian mereka.

“Pembabitan wanita amat penting sekali, mereka punya kemahiran dan naluri yang amat terserlah, Kami harap kerjasama ini akan dapat bimbing mereka untuk berjaya.

“Mereka ini diharapkan diberi ruang dalam perniagaan sekaligus menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing,” katanya.

MyWIN yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu nemberi ruang dan peluang kepada golongan wanita untuk lebih berinovasi dalam bidang perniagaan berorientasikan keperluan masa depan dan perkembangan teknologi. – MO