Disyaki jual ganja, dua pelajar kolej ditahan

 |Sep 20, 2017
Gambar ihsan PDRM.

SEPANG: Dua pelajar kolej swasta ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar Cyberjaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Baharudin Mat Taib berkata, dua pelajar lelaki berusia 18 dan 21 tahun yang dipercayai ‘tokan’ ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Cyberjaya, kelmarin.

Menurutnya, tangkapan pertama pada jam 5.10 petang oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sepang dan menemui dua paket plastik lutsinar seberat kira-kira tujuh gram berisi ketulan mampat disyaki ganja di dalam poket seluar pelajar berusia 21 tahun.

“Susulan tangkapan pertama, polis menyerbu sebuah bilik asrama dan menahan suspek berusia 18 tahun.

“Suspek menunjukkan bekas tin yang mengandungi 45 paket plastik lut sinar disyaki ganja seberat 210 gram,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, hari ini.

Baharudin berkata, nilai rampasan ganja ini bernilai RM2,250.

Menurutnya, siasatan polis mendapati kedua-dua suspek menjalankan aktiviti pengedaran dadah dan menjadi tokan secara kecil-kecilan sejak lapan bulan lalu.

Jelasnya, suspek menerima bekalan dadah dari Kuala Lumpur sebelum dijual kepada kenalan atau pelanggan yang rapat sahaja.

“Suspek akan membungkus sendiri dalam paket-paket kecil sebelum mengedarnya bukan sahaja kepada pelajar kolej, tapi dipercayai juga kepada pelanggan di sekitar Cyberjaya, ” katanya yang tidak menolak kemungkinan ada rakan suspek yang masih bebas.

Baharudin berkata, polis berharap pihak kolej atau universiti memandang serius isu dadah membabitkan pelajar mereka kerana polis tidak akan berkompromi dalam menangani isu ini.

Kedua-dua suspek yang positif dadah ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952. – MO