Tidak setuju pesta arak bukan menolak hiburan, kata Mufti Perlis

 |Sep 19, 2017
Gambar fail kredit Facebook DrMaza.com.

PETALING JAYA: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan membantah pesta ‘Better Beer Festival 2017’ bukanlah bererti menolak hiburan.

Menurutnya, banyak golongan beragama turut berhibur dan bernyanyi dengan cara yang santun iaitu dengan bernasyid dan berselawat tetapi dilakukan dengan kadar kesopanan sebagai manusia waras.

“Arak itu buruk di sisi semua manusia yang waras, ia telah menjadi masalah terhadap masyarakat termasuk negara maju sekalipun.

“Kalau seseorang enggan atau tidak setuju pesta arak bukan bererti dia enggan dan menolak hiburan,” katanya dalam satu catatan di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian selepas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyindir pihak yang membantah penganjuran pesta arak yang dijadualkan pada 6 dan 7 Oktober ini.

Zaid yang tidak menamakan mana-mana pihak berkata, kumpulan yan membantah majlis itu dilihat suka berpoligami berbanding penganjuran pesta, hiburan serta nyanyian.

“Yang bantah pesta ini kumpulan yang sama. Mereka tak mahu pesta, hiburan, tak mahu nyayian. Isteri dua tiga boleh, lagi muda lagi baik,” tulis Zaid.

Mohd Asri dalam kenyataan turut mempersoalkan kaitan poligami yang halal dengan pesta arak.

“Tidakkah pesta arak itu menjerumus kepada perzinaan dengan wanita yang pasti mencemar kehormatan di sisi semua agama.

“Sementara poligami yang bertanggungjawab mempunyai peraturan dan kewajipan sebagai suami dan isteri,” katanya.

Mufti itu berkata, meminum arak adalah hak orang bukan Islam tetapi penganjuran pesta boleh memberikan kesan negatif kepada masyarakat awam.

Beliau turut menasihatkan umat Islam supaya mempunyai etika ketika memberi pandangan berhubung dengan perkara yang jelas seperti ini.

‘Better Beer Festival 2017’ yang dijadualkan berlangsung bulan depan telah dibatalkan setelah pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan oleh penganjur. – MO