Polis tahan Datuk Seri dipercayai dalang syarikat pelaburan KongsiMakan

 |Sep 19, 2017

PETALING JAYA: Seorang individu bergelar Datuk Seri ditahan selepas dipercayai terlibat dalam penipuan pelaburan yang membabitkan kerugian RM3.75 juta di Melaka, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, suspek yang berusia 39 tahun ditahan di sebuah rumah di Melaka selepas polis menerima 113 laporan berhubung penipuan Skim Pelaburan Kongsi Makan Bhd.

Menurutnya, polis merampas sebuah kenderaan jenis Range Rover, 2 unit telefon jenama iPhone 7 Plus dan pelbagai dokumen syarikat berkenaan.

“Siasatan polis mendapati syarikat pelaburan yang ditubuhkan pada 2015 masih aktif hingga kini.

“Syarikat tersebut dipercayai menjalankan perniagaan dengan objektif utama membantu peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi menjual produk mereka melalui stokis milik syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pelabur dikehendaki membayar keahlian sebanyak RM1,700 bagi satu set dan dijanjikan bonus selepas 3 bulan antara RM800 hingga RM1200 untuk setiap set.

Namun, setelah bayaran diberikan, bonus yang dijanjikan tidak dibayar dan siasatan polis mendapati anggaran seramai 70,000 ke 80,000 orang telah menyertai skim dibawah pengurusan syarikat berkenaan.

Acryl Sani berkata, suspek yang juga pengerusi syarikat berkenaan ditahan reman selama tiga hari sehingga Khamis ini untuk siasatan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa pelaburan.

“Sekiranya ditawarkan sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa yang singkat, segeralah membuat semakan dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan bagi memastikan kesahihan pelaburan tersebut sekaligus mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

“Orang ramai juga adalah dinasihatkan untuk tampil membuat laporan polis sekiranya terlibat oleh skim pelaburan sebegini kerana kami percaya jumlah mangsa yang terlibat dengan kes penipuan pelaburan ini adalah ramai namun jumlah yang tampil membuat laporan adalah sedikit,” katanya.

Menurutnya, kerjasama antara polis dan orang ramai amatlah diperlukan bagi membanteras kegiatan penipuan sebegini daripada terus berleluasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. – MO