Azwan Ali mengamuk ditipu ‘Azman Jantan’

 |Sep 19, 2017
Gambar fail kredit Instagram Azwan Ali.

PETALING JAYA: Selebriti popular Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA berang apabila dipercayai ditipu seorang lelaki yang mendakwa dirinya pengurus restoran di Puchong, Selangor baru-baru ini.

Menerusi perkongsiannya di laman Instagram, Azwan menjelaskan dia menerima jemputan melalui mesej WhatsApp daripada seorang lelaki bernama ‘Azman Jantan’ yang mendakwa dirinya pengurus restoran makanan stamboat untuk makan secara percuma dan boleh mengundang rakan artis lain untuk menyertainya.

Azwan berkongsi gambar dan video dari awal dia dan rakan-rakan sampai ke restoran berkenaan serta mempromosikan makanan yang disediakan.

Keadaan pada awalnya gembira menjadi kecoh apabila seorang pelayan menghampiri mejanya dan memberikan resit yang bernilai RM1,186 untuk dibayar sedangkan pada awalnya dia dijanjikan makanan percuma.

“Janji dengan aku makan free (percuma) tiba-tiba bawa bil,” katanya yang mempersoalkan tindakan pelayan berkenaan dan mahu bercakap dengan pemilik restoran itu.

Menurut Azwan, dia telah ke restoran berkenaan pada Ahad lalu bersama beberapa rakan artis termasuk penyampai radio Suria FM, Soraya Borhan dan pelakon Farouk Hussein serta lebih 10 rakannya yang lain.

Bagaimanapun, Azwan enggan membayar jumlah makanan berkenaan kerana mendakwa dirinya ditipu.

“Jangan ingat Azwan Ali tak ada duit, Diva AA tetap tak bayar sesen pun kat **** Steamboat,” katanya.

Sementara itu, menerusi posting terbarunya, Azwan menjelaskan dia mungkin ditipu dan tidak menyalahkan restoran berkenaan serta akan mengambil tindakan terhadap ‘Azman Jantan’.

Azwan memberikan pujian terhadap makanan dan servis di restoran steamboat tersebut dan turut meminta agar restoran itu tidak dipersalahkan di atas apa yang berlaku.

Seorang rakannya yang dikenali sebagai Azeril berkata, dia menerima jemputan daripada Azwan untuk bersama dengan rakan lain menikmati makanan di restoran berkenaan.

“Dia (Azwan) memang terkejut apabila diberikan resit untuk dibayar sedangkan pada awalnya dijanjikan percuma,” katanya.

Menurutnya, pekerja restoran berkenaan cuba menghubungi majikannya namun gagal dan Azwan tidak membayar jumlan makanan yang dikenakan terhadapnya. – MO