Mat Taib strategi Umno tawan kembali Selangor, kata penganalisa politik

 |Sep 18, 2017
Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib. – Gambar fail kredit The Rakyat Post.

PETALING JAYA: Penyertaan semula bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam Umno dianggap sebagai strategi parti tersebut dan Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali Selangor daripada Pakatan Harapan.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berpendapat, Muhammad yang juga bekas Naib Presiden Umno dapat memperkukuhkan jentera parti untuk menawan semula Selangor selepas dua penggal parti bekenaan gagal melakukannya.

Menurutnya, pengalaman yang ada pada Muhammad yang telah lama terlibat dalam politik dan pengaruhnya juga boleh dilihat dapat mengembalikan semula pengikut lama dalam jentera parti.

“Mereka (Umno) berharap Muhammad dapat menggunakan pengalaman dia dan pengikut lama supaya kembali kepada Umno.

“Ini adalah strategi untuk kembalikan Selangor dibawah kepimpinan BN dan percaya penyertaan kembali beliau dapat mengubah pengikut lamanya yang masuk PKR sebelum ini untuk kembali kepada Umno,” katanya ketika dihubungi Malaysia Outlook.

Muhammad yang lebih dikenali dengan nama Mat Taib itu keluar Umno untuk menyertai PAS pada April 2013, dan kemudian menyertai PKR dua tahun kemudian.

Di dalam satu sidang media khas di Menara Dato Onn semalam, presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Mat Taib telah membuat keputusan untuk kembali bersama Umno.

Ahmad Atory berkata, sambutan kepimpinan tertinggi Umno dalam menerima kembali Mat Taib adalah satu penghargaan kepada bekas Menteri Besar Selangor ke-11 itu yang disifatkan seperti disambut dengan tepak sirih.

Mengulas mengenai Najib sendiri yang mengumumkan perkara itu, Ahmad Atory berkata itu merupakan sambutan paling hormat semua kepimpinan tertinggi Umno.

“Mat Taib pula dilihat terkesima dan terjua serta kagum dengan sambutan tersebut tetapi dari sudut psikologinya, beliau seperti sudah diikat dan komited untuk membantu Umno dengan cara bersungguh-sungguh.

“Cara ini untuk menambat beliau (Mat Taib) supaya jangan lompat parti dan meneruskan usaha menumbangkan Pakatan Harapan sekaligus mempertahankan Selangor,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan membuat andaian awal mengenai kesan kepada kembalinya Mat Taib dalam Umno kepada Selangor kerana ia ditentukan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum nanti.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, kemasukan semula Mat Taib dalam Umno dilihat dapat membantu dalam mempengaruhi bekas ahli Umno untuk kembali ke pangkuan parti.

Menurutnya, bagi mendapatkan kembali keyakinan rakyat Selangor kepada parti itu masih terlalu awal untuk membuat jangkaan namun penyertaan semula Mat Taib ini dilihat dapat memberi impak kepada bekas ahli Umno yang sudah keluar parti.

“Beliau (Mat Taib) boleh beri pengaruh kepada mereka yang dah keluar parti untuk sertai balik Umno,” katanya.

Mat Taib yang turut hadir di sidang media khas semalam menjelaskan keputusan untuk kembali kepada Umno juga kerana bimbang melihat perpecahan di kalangan orang Melayu. – MO