Tragedi Pusat Tahfiz: Jenazah dijangka dikebumikan petang ini

 |Sep 15, 2017
Tragedi kebakaran di pusat tahfiz semalam meragut 23 nyawa. – Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Jenazah 23 mangsa yang maut dalam kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat dijangka akan dikebumikan petang ini di 10 tanah perkuburan berasingan.

Difahamkan, keputusan mengenal pasti mayat mangsa hanya dikeluarkan seawal pukul 3.30 petang ini dan dijangka jenazah hanya akan dibawa keluar dari unit forensik Hospital Kuala Lumpur selepas proses bedah siasat selesai.

Sebanyak 11 jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatussakinah di Batu Caves, manakala empat lagi jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Jalan Ampang.

Lapan jenazah yang lain akan dikebumikan di Tanah Perkuburan di Taman Kosas, Dato Keramat, Jalan Klang Laman Taman Medan, Bukit Kuari Cheras, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Perak.

Dalam kejadian kira-kira 5.15 pagi Khmais, 21 pelajar dan dua guru dilaporkan meninggal dunia yang turut memusnahkan seluruh tingkat paling atas bangunan pusat tahfiz tiga tingkat berkenaan, di Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan rentung dan bertindih menyebabkan sukar untuk mengenal pasti identiti mangsa.

Ahli keluarga dan waris mangsa sudah menyerahkan DNA masing-masing bagi membantu proses pengesahan. – MO