Tragedi Pusat Tahfiz: Bomba nafi jumpa bahan kimia

 |Sep 15, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman menafikan laporan berhubung penemuan kesan bahan kimia di sekitar kawasan kejadian yang meragut nyawa 23 pelajar dan guru dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, awal pagi semalam.

Beliau menegaskan tiada bahan kimia yang ditemui dan menolak dakwaan anggotanya ada membawa bahan tersebut ke makmal untuk tindakan lanjut.

Khirudin yang kesal dengan dakwaan tersebut berkata, kes berkenaan adalah sensitif dan tidak sepatutnya disensasikan.

Menurutnya, laporan berita perlulah tepat untuk disampaikan kepada pembaca dan sentiasa bercakap benar.

“Tiada bahan kimia yang ditemui di lokasi kebakaran.

“Saya berpegang kepada kenyataan sebelum ini yang kejadian itu bukan disebabkan masalah litar pintas dan punca kejadian masih dalam siasatan selain menunggu laporan penuh dari Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Beliau sebelum ini menyatakan hasil siasatan awal mendapati kotak fius di tingkat bawah pusat tahfiz itu berada dalam keadaan baik.

Khirudin berkata, pihaknya mendapati cara api merebak agak pelik dan luar daripada kebiasaan dengan kadar api merebak adalah sangat cepat dan besar.

Menurutnya, kebiasaannya, jika disebabkan litar pintas, kotak fius utama akan ‘tendang’ dan ambil masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk api marak dan merebak.

Beliau percaya terdapat unsur lain dari luar bangunan yang menyebabkan kebakaran tersebut berlaku dan siasatan terperinci berpandukan ujian makmal sedang dijalankan.

Jelasnya, buat masa ini masih terlalu awal untuk mengesahkan wujudnya unsur jenayah dan siasatan masih diteruskan termasuk dari pihak polis.

Katanya, keterangan daripada saksi iaitu pelajar dan kakitangan pusat tahfiz yang terselamat sedang diambil bagi membantu siasatan. – MO