‘Takpa la nak, mulai esok kita makan sama-sama’

 |Sep 15, 2017
Gambar kredit Facebook Norafizah Shahidan melalui Siakap Keli.

KUALA LUMPUR: ‘Takpa la nak, mulai esok kita makan sama-sama.’

Itu kata-kata seorang guru dari sebuah sekolah di Mahang, Kedah semasa berkongsi kisah sedih seorang anak muridnya di laman media sosial Facebook baru-baru ini.

Norafizah Shahidan berkongsi sekeping gambar anak muridnya yang sedang duduk di dalam kelas bersendirian.

“Ni anak murid saya,” kata Norafizah di dalam perkongsiannya.

“Dia sorang saja yang mai (datang) kelas tambahan petang ni. Sebelum start kelas, dia mai jumpa cikgu. Dia kata lapar, duit nak makan takdak. Bawak RM2, seringgit tambang bas untuk pi (pergi) sekolah, seringgit lagi untuk balik.

“Habih tu cikgu tanya awak makan apa hari ni? Dia jawab tak makan cikgu, minum air kopi saja. Ya Allah, anak oii, tahannya perut awak,” tulis Norafizah.

Guru itu menceritakan bahawa anak muridnya itu baru kehilangan ayahnya yang meninggal dunia.

Ibu murid itu pula bekerja sebagai seorang pencuci.

“Yang lain-lain tak gamak cikgu nak tanya takut banjir kelas petang ni. Takpa la nak mulai esok kita makan sama-sama,” tulis guru itu lagi.

Gambar dan tulisan Norafizah yang turut dikongsi laman Facebook Siakap Keli sudah mempunyai 1,146 perkongsian.

Menyedari perkongsiannya sudah viral, Norafizah menerusi laman Facebooknya sendiri memberitahu dia banyak menerima mesej dari mereka yang ingin membantu anak muridnya itu.

“Insha Allah saya akan dapatkan nombor akaun murid saya ni dan akan beri kepada tuan/puan secepat yang mungkin. Terima kasih atas keperihatinan. Sesungguhnya Allah SWT telah menyentuh hati kita semua dan menghantar anak ini untuk kita sama-sama berkongsi rezeki,” kata Norafizah yang menjelaskan adalah lebih baik sebarang urusan bantuan disalurkan terus kepada murid tersebut. – MO