Sirim nafi kerjasama dengan syarikat Boy Iman

 |Sep 15, 2017
Logo Sirim (di dalam kotak merah) yang tertera di poster DBI Technology Sdn Bhd.

PETALING JAYA: Isu penjualan rumah dengan harga yang lebih murah berbanding harga semasa yang ditawarkan pelakon dan usahawan, Datuk Boy Iman menerusi syarikatnya, DBI Technology terus hangat diperkatakan.

Terbaru, promosi Jom Bina Rumah bersama DBI Technology dengan harga mampu milik yang memaparkan logo Sirim menjadi kontroversi apabila Sirim menafikan kerjasama dengan syarikat berkenaan.

Dalam poster promosi tersebut memaparkan gambar Boy Iman selaku Ketua Pegawai Eksekutif DBI Technology dan penyanyi, Datuk Nassier Wahab sebagai dutanya.

Sirim Berhad menerusi satu kenyataan menafikan kerjasama dengan DBI Techonology Sdn Bhd dalam sebarang bentuk promosi.

Agensi itu memaklumkan tidak pernah mengadakan sebarang kerjasama, usahasama dalam menjalankan kajian, ujian produk termasuk perkhidmatan kepada syarikat tersebut.

“Sirim juga tidak memberikan pensijilan atau kebenaran kepada DBI Technology untuk menggunakan logo korporat Sirim dalam sebarang bentuk promosi ke atas sebarang produk atau perkhidmatan miliknya.

“Oleh itu, Sirim tidak akan bertanggungjawab di atas segala akibat atau kesan yang dilakukan oleh DBI Technology,” katanya.

Sebelum ini, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan logonya turut dipaparkan pada promosi itu menjelaskan bahawa tidak pernah membenarkan DBI Technology menggunakan logo korporatnya.

Menurut CIDB dalam satu kenyataan, ia tidak menerima sebarang permohonan penggunaan logo korporatnya daripada syarikat tersebut.

“Oleh itu, CIDB Malaysia tidak akan bertanggungjawab dalam sebarang bentuk promosi, kesan dan atau akibat yang dibuat oleh syarikat DBI Technology Sdn Bhd,” katanya.

Dakwaan penipuan penjualan rumah ini ditimbulkan laman Facebook PW Community baru-baru ini yang mendakwa Boy Iman selaku Ketua Pegawai Eksekutif DBI Technology cuba mengutip dana untuk menipu orang awam dengan menggunakan helah menjual rumah berharga semasa RM200,000 pada harga RM50,000.

PW Community turut mendakwa, DBI Homes menggunakan teknik skim piramid dalam mengumpulkan dana dan menawarkan rumah dengan harga murah sebagai tarikan. – MO