‘Pusat Tahfiz terbakar tiada ciri keselamatan’

 |Sep 14, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan pemeriksaan awal mendapati Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah yang terlibat dalam kebakaran pagi tadi tidak mematuhi ciri keselamatan yang perlu.

Menurutnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menjalankan siasatan mendapati pusat tahfiz tersebut tidak menepati piawaian keselamatan yang telah ditetapkan.

“Kami faham bahawa penginapan dan tempat pengajian ini adalah sementara kerana mereka sedang melakukan pusat tahfiz yang kekal bentuknya.

“Namun Kerajaan mempunyai dasar pendidikan maahad tahfiz dan ini harus diikuti walaupun ianya berbentuk sementara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat lokasi kejadian di Jalan Keramat Ujung di sini, hari ini.

Menurutnya, ciri-ciri keselamatan yang ditentukan pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat wajib dipatuhi bagi mengelakkan kejadian sama berulang lagi.

Jelasnya yang tiada niat untuk campur tangan dalam hal ehwal pendidikan agama yang dibawah kerajaan negeri,  Ahmad Zahid mencadangkan agar piawaian yang telah diwujudkan melalui dasar pendidikan Maahad Tahfiz dipatuhi sepenuhnya.

Menurutnya, sejak tahun 2011, sebanyak 31 kejadian yang sama membabitkan pusat tahfiz di negara ini.

“Kita harus khuatir dan perlu selaraskan oleh semua pihak serta piawaian keselamatan wajib dipatuhi,” katanya.

Dalam kejadian 5.41 pagi tadi, 24 orang terkorban termasuk dua tenaga pengajar selepas terperangkap dalam kebakaran di tingkat teratas bangunan tahfiz itu.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan memberi bantuan sedaya upaya dan mengenal pasti identiti 24 jenazah yang terkorban.

“Ibu bapa dinasihatkan supaya bersabar dan menerima sebagai satu takdir dan pilihlah maahad tahfiz yang ada ciri keselamatan. Walaupun kita mahu menuju jalan akhirat, aspek keselamatan harus diberi keutamaan,” katanya lagi. – MO