Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tidak berdaftar di bawah KPM

 |Sep 14, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Susulan kematian 22 pelajar di dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah awal pagi tadi, Timbalan Menteri Pendidikan 1, P. Kamalanathan mengesyorkan semua pengusaha pusat tahfiz berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Turut terkorban di dalam kejadian 5.41 pagi tadi di pusat tahfiz yang terletak di Jalan Keramat Ujung, di sini, adalah dua tenaga pengajar.

Mereka yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Menurut Kamalanathan, perkara berhubung pengusaha pusat tahfiz disyorkan berdaftar di bawah kementerian pernah disuarakan di Parlimen namun belum ada usaha selanjutnya.

Beliau yang ditemui pemberita di tempat kejadian menjelaskan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifiqayah berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan bukannya dibawah KPM.

“Pusat tahfiz ini walaupun sudah didaftarkan dibawah Jabatan Agama Islam tetapi perlu juga daftar dibawah KPM bagi memudahkan pada masa depan.

“Setakat ini kami tidak tahu punca kebakaran dan biar selesai dahulu sebelum tindakan selanjutnya dilakukan,” katanya lagi.

Terdahulu, timbalan ketua-pengarah (operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Soiman Jahid memaklumkan bahawa pusat tahfiz tersebut belum menerima permit keselamatan kebakaran.

Beliau berkata pusat tahfiz tersebut sedang dalam proses memohon permit keselamatan kebakaran, namun telah memulakan operasi sebelum memperolehi permit.

“Berdasarkan siasatan kami, sekolah ini tidak mempunyai permit untuk memulakan operasi dan sedang dalam proses memohon,” Soiman dilaporkan berkata oleh The Star Online.

Berhubung permit operasi premis, Soiman berkata, berdasarkan peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT), operasi hanya boleh berjalan setelah kesemua permit diperolehi. – MO