Pemeriksaan pendawaian percuma pusat-pusat tahfiz seluruh negara, kata Ismail Sabri

 |Sep 14, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengeluarkan arahan supaya semua pelajar dan tenaga pengajar Pusat Giat Mara untuk membuat pemeriksaan percuma terhadap semua premis pusat-pusat tahfiz di seluruh negara.

Menurutnya, langkah tersebut bagi mengelakkan kejadian yang sama berlaku seperti di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar awal pagi tadi dan mengorbankan 24 nyawa.

Jelasnya, pemeriksaan pendawaian tersebut turut akan diadakan di rumah-rumah kebajikan dan rumah-rumah anak yatim.

“Kementerian juga akan mengadakan kutipan bantuan dalam kalangan petugas kami untuk menbantu keluarga mangsa.

“Kami akan melakukan kajian untuk menentukan bentuk bantuan lain yang boleh diberikan kepada mangsa yang terselamat dalam kebakaran,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

“Esok kita akan mengadakan pemeriksaan percuma pendawaian bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang lagi,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa sedih dengan tragedi berkenaan kerana sebelum ini pernah bertemu dengan semua mangsa pada bulan Ramadhan lalu.

Menurutnya, isu keselamatan tidak boleh dikompromi dan ciri-ciri keselamatan haruslah dipatuhi.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Asyaraf Wajidi Dusuki menggesa orang ramai untuk menghentikan tindakan menyebarkan gambar mangsa dan lokasi kejadian di laman sosial.

“Kami harap jangan tularkan gambar dan video kejadian kerana menganggu emosi waris dan mengaibkan mangsa, ” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk tidak mempercayai sebarang kutipan derma yang tular di media sosial kecuali yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Asyaraf Wajidi ketika ditanya sama ada pusat tahfiz berkenaan sudah berdaftar dengan JAWI atau MAIWP enggan mengulas dan mahu menumpukan kepada siasatan lanjut mengenai tragedi berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan waris mangsa yang maut untuk dikebumikan dalam satu liang lahad.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam memaklumkan bahawa empat mangsa mengalami kecederaan serius manakala tiga lagi mengalami kecederaan ringan.

Dua dari mangsa yang mengalami kecederaan serius telahpun dipindahkan ke wad untuk rawatan susulan dan dua lagi masih diberi rawatan resusitasi di Jabatan Kecemasan.

Tiga yang mengalami kecederaan ringan dirawat di wad pemerhatian, kata Subramaniam di sidang media yang diadakan di Hospital Kuala Lumpur. – MO