Tujuh mangsa kebakaran pusat tahfiz terima rawatan di HKL

 |Sep 14, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata tujuh mangsa kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Di dalam kebakaran yang berlaku pada kira-kira jam 5.41 pagi tadi, seramai 22 pelajar serta dua tenaga pengajar terkorban.

Menurut Noor Rashid, semasa kejadian, seramai 42 orang berada dalam bangunan dua tingkat pusat tahfiz yang terletak di Jalan Keramat Ujung, di sini.

Beliau yang ditemui di tempat kejadian berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Menerusi laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), dimaklumkan 12 jasad mangsa yang terkorban telah dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL untuk proses bedah siasat dan pengecaman mayat oleh ahli keluarga.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun di dalam satu kenyataan berkata PDRM akan memberikan kerjasama dan bantuan sepenuhnya dalam memastikan segala tindakan yang perlu diambil, berjalan dengan lancar dan sempurna, berhubung kejadian itu.

“Salam Takziah daripada saya dan seluruh warga PDRM kepada keluarga Allahyarham-Allahyarham yang terbabit dalam musibah kebakaran pada awal pagi 14 September 2017. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka dan ditempatkan mereka di kalangan orang-orang yang beriman dan soleh,” katanya.

Terdahulu difahamkan mereka yang maut terperangkap akibat gagal keluar dari kawasan asrama kerana hanya mempunyai satu pintu keluar.

Difahamkan, mangsa yang berjaya menyelamatkan diri berada di tingkat satu bangunan dan diselamatkan orang ramai.

Keadaan disekitar pusat tahfiz ini dipenuhi dengan orang ramai yang hadir meghulurkan sumbangan kepada pasukan penyelamat dan orang ramai yang mahu melihat kesan daripada tragedi yang membabitkan pelajar pusat tahfiz di Kuala Lumpur. – MO