Polis siasat kenyataan hina Almarhum Sultan Kedah

 |Sep 13, 2017

PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang pemilik akaun Facebook yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina kemangkatan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Ketua Komunikasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datin Asmawati Ahmad berkata siasatan dibuat selepas pihaknya menerima laporan berhubung perkara tersebut yang dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak pagi tadi.

“Kita akan meneliti perkara ini dan akan dirujuk kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah untuk mengesan suspek bagi tindakan susulan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan.

Lewat malam semalam, tular di media sosial apabila netizen berkongsi status yang dimuat naik pengguna Facebook tersebut yang mengeluarkan kenyataan yang dilihat seperti menghina kemangkatan Almarhum Tuanku Abdul Halim.

Perkongsian tersebut menimbulkan kemarahan netizen dan pemerhatian Malaysia Outlook mendapati akaun tersebut ‘dibanjiri’ dengan kecaman netizen.

Bagaimanapun, menerusi ruangan komen, pemilik akaun Facebook tersebut kemudiannya memohon maaf secara terbuka dan mengakui kenyataannya itu telah mengundang kemarahan rakyat Malaysia terutamanya rakyat Kedah.

“Saya…memohon maaf secara terbuka atas kebodohan, keceluparan dan kebiadapan saya tentang isu kemangkatan Sultan Kedah semalam. Saya tahu penulisan saya mengundang kemarahan seluruh rakyat Malaysia terutamanya rakyat Kedah kerana mempersendakan kemangkatan Almarhum Sultan.

“Saya sekali lagi memohon berjuta kemaafan dan berjanji kebodohan ini tidak akan berulang lagi, mohon maaf,” tulisnya. – MO