Mangsa nekad kejar penyamun sampai dapat

 |Sep 13, 2017

PETALING JAYA: Seorang lelaki bertindak nekad mengejar dua penjenayah yang menyamun telefon bimbitnya di Jalan Cheras Perdana, Bandar Tun Hussein Onn, Kajang, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi itu, mangsa yang berusia 37 tahun berada di dalam kereta dengan tingkat terbuka kerana sedang menghisap rokok.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, suspek yang menaiki sebuah motosikal menghampiri kenderaan mangsa dan samun telefon bimbit mangsa.

“Mangsa mengejar suspek sehingga ke sebuah restoran makanan segera di (Bandar) Tun Hussein Onn dan melanggar motosikal yang dinaiki suspek.

“Suspek yang terjatuh bertindak memukul mangsa di bahagian muka dan berlaku pergelutan, namun mangsa dibantu orang ramai yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Dzaffir berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan siasatan mendapati suspek tiada rekod jenayah serta saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah.

“Polis berjaya menemui telefon bimbit milik mangsa pada suspek,” katanya.

Menurutnya, polis masih mencari rakan suspek yang berjaya melarikan diri sejurus selepas kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – MO

SHARE