‘Kasih seorang bapa kepada rakyat Kedah’

 |Sep 12, 2017
Foto kredit Instagram @sarinaiskandar.

PETALING JAYA: Cucu Almarhum Sultan Kedah, Raja Sarina Iskandar terus menyentuh hati netizen dengan gambar dan catatan menyentuh hati mengenai Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di laman sosial.

Terbaru menerusi laman Instagramnya, Raja Sarina memuji sikap tanggungjawab terhadap rakyat oleh Tuanku Abdul Halim sepanjang bergelar Sultan dan Agong, yang tidak diketahui oleh rakyat jelata.

“Tanggungjawab dan rakyat, inilah dua perkataan yang Tok sering ucapkan semasa masih hidup. Bila difikirkan kembali, manakan tidaknya; inilah asas rutin hariannya bagi memenuhi tanggungjawab sebagai seorang Sultan. Bagi Tok, apa sahaja yg dilakukannya adalah demi rakyat yang tercinta.

“Tok sentiasa mencuba yang terbaik untuk memenuhi setiap jemputan acara yang diterima sebagai tanda penghargaan dan hormat meskipun kadangkala Tok merasa lemah dan kurang sihat kerana Tok tidak mahu menghampakan mana-mana pihak,” tulisnya.

Raja Sarina turut berkongsi kebimbangan mereka sekeluarga apabila tanggungjawab yang dilakukan baginda boleh memudaratkan kesihatan terutama ketika bergelar Yang Di-Pertuan Agong.

“Walaupun selepas cubaan untuk meyakinkannya yang pihak lain pasti akan memahami hadnya sebagai seseorang yang sudah dimakan usia, tok masih tegas dengan pendiriannya, ‘Tidak. Ini tanggungjawab Tok’,” tulis Raja Sarina lagi.

Jelasnya, Tuanku Abdul Halim percaya menjadi seorang Sultan merupakan amanah yang besar.

Raja Sarina berkata, sifat pemurah Tuanku Abdul Halim tidak terhad kepada yang dilihat di media tetapi Almarhum telah menaja pendidikan beberapa orang sehingga ke peringkat universiti kerana melihat kejayaan rakyat membawa kegembiraan kepada baginda.

“Kasihnya untuk Kedah boleh diibaratkan seperti kasih seorang bapa yang penuh dedikasi; baginya Kedah adalah seperti anak kecil yang perlu dilindungi dan ditatang sehingga dapat berdikari dan jalan dengan sendiri,” tulisnya.

Raja Sarina yang merupakan graduan bidang kewartawanan berkata, satu perkara yang dipelajari daripada baginda adalah tidak membiarkan hidup dikawal oleh tohmahan dan hinaan daripada anasir luar.

“Jika kita hidup dengan berintegriti, kenapa perlu kita berasa gentar? Perasaan tersebut hanyalah untuk Allah SWT, dan Allah SWT sahaja. Al-Fatihah,” kongsinya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicky Treadell menerusi laman Instagram turut merafak sembah takziah kepada kerabat diraja Negeri Kedah berikutan kemangkatan Sultan Kedah.

Beliau turut berkongsi gambar Tuanku Abdul Halim apabila menerima lawatan Ratu Elizabeth II ketika baginda bergelar Yang Di-Pertuan Agong pada 1972 dan juga gambar lawatan baginda ke United Kingdom pada 1974.

“Sedih mendengar berita mengenai kemangkatan Sultan Abdul Halim dan bagi pihak Ratu Elizabeth II dan kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga diRaja Kedah dan rakyat Malaysia,” tulisnya.

Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bersama Ratu Elizabeth II pada tahun 1974. – Foto kredit Vicky Treadell.

Almarhum Tuanku Abdul Halim disahkan mangkat pada pukul 2.30 petang Isnin di Istana Anak Bukit, Kedah.

Jenazah Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar petang ini.

Tuanku Abdul Halim mencipta sejarah apabila Baginda ditabalkan menjadi Yang Di-Pertuan Agong sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1970, dan kemudiannya pada tahun 2011.

Baginda menamatkan tempoh pemerintahannya sebagai Yang Dipertuan Agong ke-14 pada Disember tahun lalu dan digantikan oleh pemerintah Kelantan, Sultan Muhammad V. – MO