Jenazah Almarhum Sultan Kedah selamat dimakamkan

 |Sep 12, 2017
Gambar fail kredit The Rakyat Post.

KUALA LUMPUR: Jenazah Sultan Kedah, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah selamat dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar pada 5.50 petang tadi.

Jenazah baginda disemadikan di antara makam isteri baginda iaitu Almarhumah Sultanah Bahiyah dan adinda baginda, Almarhum Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Jenazah Almarhum Tuanku Abdul Halim dibawa dari Istana Anak Bukit melalui Lebuhraya Darul Aman dan Jalan Tun Razak sebelum melalui Jalan Langgar dengan menggunakan Pedati Diraja ke Makam Diraja Langgar.

Pedati khas itu diiringi dengan 89 das tembakan dan diiringi tiga kumpulan pengusung membabitkan ketiga-tiga ketumbukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Satu lagi kumpulan pengiring terdiri daripada gabungan penghulu daripada 112 mukim seluruh negeri seramai 72 orang termasuk pegawai istiadat istana diketuai oleh pemegang cogan alam, Nasrul Safarin Radzi dan pemegang cogan agam, Abdul Razak Osman melalui perjalanan sejauh 11 kilometer (km) ke Makam Diraja Langgar.

Ribuan rakyat jelata beratur di sepanjang jalan ke masjid berkenaan bagi melihat jenazah Sultan yang dikasihi buat kali terakhir.

Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, mangkat semalam pada usia 89 tahun, setelah memerintah Kedah selama 59 tahun.

Sultan berjiwa rakyat ini menghembuskan nafas terakhir pada 2.30 petang semalam di Istana Anak Bukit. – MO