Tuanku Abdul Halim Raja Pemerintah yang disanjung tinggi, kata Perdana Menteri

 |Sep 11, 2017
Gambar fail.

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai raja pemerintah yang disanjung tinggi sepanjang tempoh menyandang jawatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bagi dua penggal.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Najib merafak sembah takziah kepada kerabat diraja Negeri Kedah berikutan kemangkatan Sultan Kedah di Istana Anak Bukit hari ini.

Menurutnya, Almarhum Tuanku seorang yang peramah, mesra, berhemah tinggi dan amat disayangi rakyat.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Saya berasa sedih dan dukacita menerima berita kemangkatan Tuanku Sultan Kedah sebentar tadi. Almarhum Tuanku dan saya mempunyai hubungan yang akrab sama ada atas kapasiti rasmi atau peribadi selama ini.

“Patik secara peribadi dan bagi pihak Kerajaan Persekutuan dengan penuh kesedihan merafak sembah takziah kepada kerabat diraja Negeri Kedah. Semoga roh Almarhum dirahmati Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” tulisnya.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut merafak sembah takziah kepada kerabat diraja negeri Kedah.

“Sembah takziah kepada seluruh Kerabat DiRaja Kedah Darul Aman. Al fatihah,” tulisnya.

Beberapa menteri kabinet turut sama merafak sembah takziah berikutan kemangkatan Sultan Kedah antaranya Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang berkongsi ucapan di laman Twitter.

“Sembah Takziah kepada Kerabat Diraja Kedah atas kemangkatan KDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim.Salam Takziah kpd seluruh warga Kedah Darul Aman,” tulis Mas Ermieyati.

Penasihat DAP Lim Kit Siang juga berkongsi sedikit catatan di laman blognya di mana beliau menyifatkan Tuanku Abdul Halim sebagai raja berjiwa rakyat.

“Negara dan rakyat berdukacita di atas pemergian Sultan Abdul Halim,” tulis Kit Siang.